suria

MIC: Mukhriz harus biarkan BN putuskan bakal calon

SHAH ALAM: Ahli Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir harus membiarkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) memutuskan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April ini.

Dalam membuat gesaan itu, Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, Mukhriz perlu menghentikan daripada membuat kenyataan mengenai calon pilihan tetapi sebaliknya mematuhi konsep perkongsian kuasa yang diamalkan dalam BN.

Ini, katanya, akan memastikan komposisi perkauman yang seimbang dicapai di peringkat DUN negeri dan Parlimen.

"Saya pasti Mukhriz dan Pemuda Umno sendiri, tidak mahu melihat calon MIC tidak mempunyai kerusi di DUN dan Parlimen.

"Saya merayu kepada semua anggota exco Umno supaya tidak membuat spekualsi mengenai parti mana yang bakal mewakili BN pada pilihan raya kecil Bukit Selambau," kata Veerasingam kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mukhriz dalam sebuah akhbar tempatan hari ini yang menyebut sudah tiba masa untuk wakil Umno diberi peluang bertanding di situ berdasarkan keadaan semasa dan kehendak pengundi di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Jerlun itu juga berkata, adalah amat penting bagi BN meletakkan calon yang tepat dan dapat diterima pengundi dengan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini.

Veerasingam berkata kenyataan Mukhriz itu mencerminkan "ibarat masyarakat India tidak akan mendapat kerusi dari BN" bagi bertanding pilihan raya kecil Bukit Selambau.

Dalam pada itu, Veerasingam berkata, Presiden MIC Datuk Deri S. Samy Vellu telah melawat Bukit Selambau baru-baru ini bagi memastikan calon BN merampas semula kerusi tersebut.

Kerusi DUN Bukit Selambau kosong berikutan peletakkan jawatan oleh penyandangnya V. Arumugan dari Parti Keadilan Rakyat pada 8 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas, Arumugam, 54, yang bertanding sebagai calon Bebas, menewaskan calon BN, S. Krishnan dari MIC dengan majoriti 2,362 undi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain