suria

Khir sedia bersemuka semua calon Pemuda Umno

SHAH ALAM: Calon Ketua Pemdua Umno, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo bersedia bersemuka dengan semua calon Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda parti itu sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah.

Ketua Pembangkang Selangor itu berkata, pertemuan melalui satu mesyuarat khas yang dicadangkan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, itu boleh dilakukan bagi memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada keduadua pilihan raya kecil berkenaan.

"Hasrat beliau (Khairy) untuk adakan pertemuan khas tidak ada masalah selagi ia tidak digunakan sebagai kempen serangan peribadi, tidak timbul rasa benci dan sebagainya, " kata beliau kepada pemberita selepas berarak menuju perkarangan Istana Bukit Kayangan untuk menyerahkan memorandum sokongan dan taat setia kepada Sultan Selangor di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan Khairy agar kelimalima calon Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Umno yang bakal bertanding pada pemilihan parti bulan depan mengadakan mesyuarat khas, tanpa perlu menunggu keputusan pemilihan keduadua jawatan itu untuk memastikan persiapan jentera bagi menghadapi pilihan raya kecil serentak di Kedah dan Perak dibuat lebih awal.

Pada pemilihan itu calon Ketua Pemuda ialah Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Anggota Parlimen Jerlun dan Dr Mohamad Khir sementara calon Naib Ketua ialah Datuk Razali Ibrahim, Anggota Parlimen Muar dan EXCO Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Marican.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah diadakan berikutan wakil rakyatnya V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 8 Feb lepas manakala pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak diadakan ekoran kematian Anggota Parlimennya Roslan Shaharum, daripada PAS pada 8 Februari akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon keduadua kerusi itu pada 29 Mac dan jika ada pertandingan, pengundian pada 7 April.

Sementara itu, Dr Mohamad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor mencadangkan agar Pergerakan Pemuda Umno tidak menggunakan pendekatan kempen yang bersifat retorik semata-mata untuk menarik lebih ramai pengundi muda.

Menurut beliau, kempen seperti pembinaan jalan raya, tajaan futsal dan sebagainya itu dilihat tidak mampu untuk menarik perhatian golongan muda disebabkan mereka lebih berminat mendapatkan penjelasan berhubung isu yang melanda Umno secara khasnya dan kerajaan secara amnya.

"Orang muda sekarang ada pendidikan dan kreativiti yang tinggi dan mereka mahukan penjelasan yang total dalam semua isu yang berlaku di sekeliling mereka termasuklah politik dan pentadbiran semasa," katanya menambah cara terbaik bagi menjelaskan kedudukan negara semasa adalah dengan mewujudkan gerakan subersif di setiap kampung bagi memastikan pengundi bersama BN. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain