suria

Jauh, tapi BN, Pakatan sudah sedia turun gelanggang

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Di sebalik sesetengah pihak mempertikaikan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi dua pilihan raya kecil, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat sudah pun memulakan langkah persiapan menghadapi 7 April.

Pagi semalam di Pulau Pinang, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa parti-parti politik Pakatan Rakyat yang mempertikaikan keputusan SPR supaya tidak bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini.

Di ALOR SETAR, PAS Kedah mengumumkan yang pihaknya akan bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memilih calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata, parti itu tidak akan campur tangan dalam urusan pemilihan calon PKR.

"PAS bagaimanapun akan memberi cadangan dan pandangan sekiranya calon yang dipilih tidak sesuai supaya Pakatan Rakyat mencapai kemenangan," kata beliau selepas menyampaikan sijil dan tauliah pelantikan ketua kampung dan komuniti semalam.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah diadakan berikutan wakil rakyatnya, V. Arumugam daripada PKR meletakkan jawatan pada Ahad lepas manakala pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak diadakan ekoran kematian Ahli Parlimennya Allahyarham Roslan Shaharum, daripada PAS Isnin lepas akibat serangan jantung.

SPR mengumumkan bahawa pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi itu akan diadakan serentak pada 7 April ini.

Penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac.

Arumugam, 55, yang bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas, memenangi kerusi DUN Bukit Selambau setelah mengalahkan calon BN, S. Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Arumugam kemudian menyertai PKR dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri dengan memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Allahyarham Roslan, 50, menewaskan Bendahari Umno, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, Mohganan P. Manikam dengan majoriti 1,566 undi di kerusi Bukit Gantang.

Menurut Azizan, pucuk pimpinan PKR akan membuat pemilihan calon yang ditentukan setelah mengadakan perbincangan dengan semua parti komponen Pakatan Rakyat.

"Bukit Selambau memang kuota untuk PKR. Jadi saya tak campur tangan tapi PAS akan bagi cadangan sekiranya calon yang dipilih mempunyai rekod tidak baik," katanya.

Beliau berkata, PAS juga tidak kisah sekiranya PKR memilih calon bukan penduduk tempatan (Bukit Selambau) asalkan calon itu adalah rakyat Kedah.

Mengenai keputusan SPR menetapkan tarikh pilihan raya selepas Perhimpunan Agung Umno bulan depan, beliau berkata, keputusan itu memberikan masa kepada Umno untuk mengadakan perhimpunan itu sebelum pilihan raya diadakan.

"Jadi kita semua akan lebih banyak masa untuk berkempen... lagi lama lagi seronok," katanya.

UMNO KEDAH

Di SUNGAI PETANI, BN Kedah juga telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN mengambil kira pelbagai sudut bagi menghadapi pilihan raya itu dengan menubuhkan bilik mesyuarat dan urusetia bagi merampas kembali Bukit Selambau daripada Pakatan Rakyat.

Umno negeri juga akan menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan parti mengenai calon yang akan bertanding, kata beliau selepas perasmian Program Merakyatkan Seni dan Budaya oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafei Apdal.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Arumugam yang bertanding sebagai calon Bebas mendapat 13,225 undi mengalahkan calon BN, S. Krishnan dengan majoriti 2,362 undi.

"Datuk Seri Najib telah dimaklumkan dan beliau faham suasana di Bukit Selambau. Jadi saya berharap sebarang keputusan akan mengambil kira pelbagai sudut," kata Mahdzir.

Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain sebelum ini dilaporkan memohon supaya kerusi Bukit Selambau yang diberikan kepada MIC selama empat penggal, dipulangkan kepada Umno.

NAJIB DI IPOH

Di IPOH, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN telah memutuskan bahawa anak tempatan daripada Umno akan dipilih sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, calon yang akan dipilih adalah daripada kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat.

Katanya, dengan keputusan itu, sebarang spekulasi mengenai ada calon luar yang akan dipilih tidak akan berlaku lagi.

Najib mengumumkan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup BN Perak di Ibu Pejabat Umno Perak yang membincangkan mengenai pilihan raya kecil berkenaan dan kedudukan kerajaan negeri baru BN di Perak.

Menjawab pertanyaan pemberita, Najib berkata, syarat utama yang ditetapkan bagi pemilihan calon adalah anak tempatan yang boleh diterima oleh semua.

"Mesti anak tempatan... kita ada senarai panjang dan pendek.

"Nama akan ditentukan kemudian, kita punya masa lagi untuk buat tinjauan dan pilihan raya lama lagi. Kita akan buat (persediaan) apa yang patut," katanya.

Pemilihan anak tempatan sebagai calon BN hangat diperkatakan ekoran kekosongan kerusi berkenaan kerana pemilihan calon luar sebelum ini dianggap salah satu sebab kubu kuat BN itu terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

KOMITMEN PAKATAN

Di KUALA LUMPUR, Pakatan Rakyat pula berkata, pihaknya akan meletakkan calon mengikut kerusi parti yang bertanding pada pilihan raya umum yang lepas di kedua-dua pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk meletakkan calon PAS pada kerusi Parlimen Bukit Gantang dan calon PKR di kerusi DUN Bukit Selambau.

"Cuma nama calon akan diumumkan kelak, senarai nama mengikut parti bertanding sudah ada, menunggu masa yang sesuai sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan Bengkel Memperkasakan Pakatan semalam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain