suria

Gambar bogel: PKR tidak kompromi ambil tindakan disiplin

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu berkompromi dalam soal mengambil tindakan disiplin berhubung isu tersebarnya gambar berkeadaan "berbogel" Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

"Bagaimanapun kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi," kata Naib Presiden PKR, Azmin Ali di sini hari ini.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kedua-dua mereka bersetuju bahawa kami tidak wajar berkompromi berhubung soal mengenakan tindakan disiplin.

"Kami serahkan kepada Menteri Besar untuk memutuskan jika beliau bersalah atau tidak memandangkan beliau merupakan ketua kerajaan negeri," katanya.

Bagaimanapun Azmin menambah, parti itu akan menunggu penjelasan Wong kepada Khalid yang juga Menteri Besar.

"Kami tidak mahu tahu sama ada ia gambar lama atau gambar baru. Beliau mesti menjelaskan kepada kami dan jika benar beliau bertindak sedemikian atau terlibat dalam perakaman gambar sedemikian, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain