suria

BN dengar suara akar umbi - Dr Zambry

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata keputusan Barisan Nasional (BN) untuk memilih anak tempatan mewakilinya pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang menunjukkan pucuk pimpinan mendengar suara akar umbi.

"Kita mengucapkan terima kasih kerana pimpinan bersetuju dengan pandangan akar umbi," katanya mengulas keputusan BN bahawa anak tempatan daripada Umno akan dipilih sebagai calon bertanding pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat BN Perak di sini semalam.

Dr Zambry berkata pengumuman berkenaan sekali gus akan menghentikan spekulasi bahawa BN akan sekali lagi memilih calon luar untuk bertanding kerusi berkenaan.

"Dengan pengumuman itu, semua spekulasi yang mengatakan ada kemungkinan orang luar yang bertanding tidak akan timbul lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan dan pegawai kerajaan di sini.

Pilihan raya kecil berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum, 50, daripada PAS pada 9 Feb lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon diadakan pada 29 Mac, dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung pada 7 April.

Pemilihan anak tempatan sebagai calon BN hangat diperkatakan ekoran kekosongan kerusi berkenaan kerana pemilihan calon luar sebelum ini dianggap satu daripada sebab kubu kuat BN itu terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008 dan bekas menteri besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali turut menasihati BN supaya belajar daripada kesilapan pada pilihan raya umum lepas serta menghormati kehendak penduduk tempatan.

Mengenai perjumpaan itu, Dr Zambry berkata ia adalah perjumpaan biasa bagi memberi peluang beliau bertukar-tukar pandangan dengan para pegawai kanan kerajaan.

"Cuma yang yang saya nyatakan adalah dasar kerajaan BN adalah dasar yang berteraskan rakyat. Ini teras utama pentadbiran kerajaan BN," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry berkata kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan secara konfrantasi dalam isu jawatan ketua kampung serta penggunaan dewan orang ramai yang sebelum ini menjadi "rebutan" apabila kerajaan negeri diperintah oleh kerajaan pakatan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

"BN akan sentiasa mengambil pendekatan secara berhemah dan tidak akan berkonfrantasi apabila berlaku peralihan kuasa kerajaan negeri. Kita harap semua masalah akan dapat diselesaikan dengan baik... elakkanlah daripada berebut-rebut menggunakan dewan, biarlah masyarakat kampung menyelesaikan masalah itu dengan toleransi, dengan semangat kejiranan, bersatu padu dan tidak bergaduh," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain