suria

Keluarga bimbang Uthayakumar ditahan ISA hilang kaki

KUALA LUMPUR: Anggota keluarga P. Uthayakumar yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bimbang tahanan itu akan kehilangan kaki kirinya akibat penyakit kencing manis kerana tidak mendapat rawatan sewajarnya daripada hospital.

Isterinya S. Indradevi mendakwa ibu jari kaki kiri Uthayakumar kini bengkak dan berwarna hitam akibat penyakit itu.

"Saya melawatnya semalam dan terkejut melihat keadaannya.

"Kami telah merayu kepada polis supaya membenarkannya mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan swasta, tapi ditolak. Uthaya juga ada masalah jantung," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Brickfields di sini hari ini tentang tindakan polis mengabaikan kesihatan Uthayakumar.

Turut hadir ialah Anggota Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran; peguam N. Surendran dan 50 penyokong Uthayakumar.

Indradevi berkata, pada 3 Februari, Mahkamah Sesyen memerintahkan Uthayakumar dihantar dengan segera ke sebuah hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan penyakit kencing manis dan sejajar dengan itu, suaminya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Di hospital itu, pegawai perubatan membuat pemeriksaan sinar-X terhadap kaki kirinya dan memaklumkan kepada kami Uthaya tidak dapat dimasukkan ke wad kerana tidak cukup katil.

"Alasan ini amat tidak masuk akal.

"Saya juga dimaklumkan bahawa kem tahanan di Kamunting, Perak, tidak menyediakan diet sewajarnya bagi Uthayakumar. Dia pesakit kencing manis, tapi makanan hariannya mempunyai kandungan gula yang tinggi," kata Indradevi sambil menambah bahawa keluarganya telah merayu kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera berhubung perkara itu. BERNAMA

Artikel Lain