suria

Tetapkan tarikh Pakatan dakwa SPR dipengaruhi Umno, BN

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mendakwa jurang tempoh menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi dipengaruhi Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Kedua-dua komponen Pakatan Rakyat, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan pandangan sedemikian ketika dihubungi mStar Online.

"Kita tidak nampak mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk mengadakan pilihan raya kecil ini. Ini kes langsung...ada kekosongan, SPR harus adakan pilihan raya (awal)," kata Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa.

Tambah Nasaruddin, Umno memerlukan masa yang banyak kerana berhadapan dengan masalah dalaman termasuk soal pemilihan.

"Ini babitkan dua isu iaitu pilihan raya Umno dan pilihan raya parti. Kita lihat pilihan raya rakyat, Umno lihat pemilihan Umno," katanya.

Mengenai pemilihan calon, pihaknya belum lagi memutuskan soal itu.

SPR hari ini mengumumkan tarikh pilihan raya kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau yang kosong awal minggu ini akan diadakan secara serentak 7 April ini, manakala tarikh penamaan calon pula diadakan pada 29 Mac.

Kerusi Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan.

Bagaimanapun, pemilihan tarikh tersebut dilihat sesetengah pihak dipengaruhi oleh BN dan Umno memandangkan Umno akan mengadakan perhimpunan agung pada 26 hingga 28 Mac ini.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini menafikan perkara tersebut.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, keputusan SPR mengadakan dua pilihan raya kecil itu serentak dalam masa dua bulan lagi mempunyai kaitan dengan penyerahan kuasa yang akan berlaku dalam Umno.

Beliau berkata, tarikh 7 April depan dipilih untuk mengadakan pilihan raya adalah untuk memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijadualkan selepas Perhimpunan Agung Umno 26 Mac ini.

"Sebenarnya, ia mahu diadakan (selepas hampir dua bulan) kerana mahu memberi peluang kepada (Datuk Seri) Najib menjadi Presiden (Umno) dan pada masa yang sama, perhimpunan agung (umno) dapat 'diselamatkan'," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Dr Syed Husin berkata, jika pilihan raya kecil diadakan sebelum perhimpunan agung dan kemungkinan Barisan Nasional (BN) kalah bagi kedua-dua kawasan itu, imej Najib sebagai bakal Perdana Menteri akan terjejas.

"Tidak ada banyak beza jika BN kalah (dalam dua pilihan raya itu) semasa Abdullah masih menjadi Perdana Menteri tetapi sokongan kepada Najib untuk menjadi Perdana Menteri akan menjadi goyah.

"Bagi mereka yang tidak mahu Najib menjadi Perdana Menteri, mereka akan membantah dengan lebih kuat lagi," katanya.

Bagaimanapun katanya, Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah kedua-dua kerusi tersebut dibiarkan kosong selama hampir dua bulan kerana ia akan memberi peluang kepada Pakatan untuk lebih bersedia.

"Kita akan lebih fokus dan membuat kerja pada setiap masa sedangkan Umno perlu menghadapi banyak perkara," katanya.

Berhubung calon bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu, Dr Syed Husin berkata, kemungkinan besar calon bagi Parlimen Bukit Gantang adalah daripada PAS dan DUN Bukit Selambau adalah daripada PKR memandangkan kerusi tersebut masing-masing telah diperuntukan untuk kedua-dua parti itu.

"Bagi PKR, kita telah menerima banyak permohonan dan cadangan nama untuk calon Bukit Selambau.

"Kita akan menyenarai pendek senarai calon itu dan nama calon yang dipilih akan diumumkan menjelang tarikh penamaan calon pada 29 Mac," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain