suria

Pemimpin kedua PKR dilarang masuki Sarawak

KUCHING: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa, pemimpin kedua parti itu, dilarang daripada memasuki Sarawak hari ini.

Peguam dan Ahli Parlimen Subang itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa pada pukul 1.30 tengah hari dan diberikan notis larangan masuk di bawah Seksyen 66(1) Akta Imigresen.

Alasan yang diberikan ialah oleh kerana beliau bukan dari Sarawak, tidak layak untuk memasuki negeri itu tanpa permit ataupun pas sah.

Sivarasa berkata, beliau berada di Sarawak untuk mengendalikan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin PKR dan merancang untuk kembali ke Kuala Lumpur esok.

"Apabila saya tiba, saya telah dimaklumkan bahawa saya telah disenaraihitamkan daripada memasuki Sarawak," kata beliau kepada pemberita sebelum pulang ke Kuala Lumpur menerusi pesawat AirAsia pukul 5.35 petang tadi.

Pada Disember lalu, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang bercadang untuk menyambut Krismas bersama keluarga angkat daripada kalangan masyarakat Iban, telah dilarang daripada memasuki negeri itu atas alasan yang sama.

Kali terakhir Sivarasa berada di Sarawak Julai lalu untuk menghadiri World Rainforest Music Festival.

Kata Sivarasa, beliau tidak faham dengan alasan menghalangnya memasuki negeri itu.

"Kemungkinan ada lebih ramai pemimpin PKR telah disenarai hitam daripada memasuki dan saya percaya ia berkaitan dengan pilihan negeri.

"Mungkin ia berkaitan, jika tidak saya tidak nampak sebab harus menghalang kami," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan dari PKR, Dominique Ng berkata, beliau akan memfailkan semakan penghakiman berhubung larangan tersebut meskipun tindakan seumpama itu membabitkan kes Gobalakrishnan telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuching.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain