suria

Lebih ramai bukan Melayu sertai perkhidmatan awam - Menteri Sumber Manusia

KUALA LUMPUR: Terdapat satu perkembangan menggalakkan berhubung permohonan bagi meningkatkan pengambilan kaum bukan Melayu berkhidmat dalam sektor awam, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Tanpa menjelaskan butiran mengenainya, beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat yang dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam di Putrajaya semalam.

"Satu makluman akan dikeluarkan (oleh SPA) mengenai perkara itu sedikit masa lagi. Kita tunggulah makluman itu," kata Subramaniam, yang juga Setiausaha Agung MIC dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keputusan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Kaum India yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Februari.

MIC sebelum ini memohon sekurang-kurangnya lapan peratus daripada penjawat awam adalah India.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, baru-baru ini bahawa bilangan kaum India diambil sebagai kakitangan awam berubah-ubah antara 3.5 peratus dan kurang lima peratus setiap tahun.

Beliau turut melahirkan kekeliruan mengenai satu laporan berita pada Disember lepas bahawa kaum bukan Melayu, terutamanya kaum India tidak berminat berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Laporan itu mendakwa daripada sejumlah 486,802 pemohon untuk berkhidmat dalam sektor awam pada 2007, permohonan kaum Cina dan India masing-masing hanya berjumlah 1.78 peratus dan 2.5 peratus.

Laporan itu memetik Ismail sebagai berkata bahawa keadaan itu sukar diubah walaupun JPA berusaha untuk merapatkan jurang antara kaum dalam perkhidmatan awam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain