Kugan: Polis ambil keterangan ibu bapa - Semasa | mStar

Kugan: Polis ambil keterangan ibu bapa

SEPANG: Ibu bapa mendiang suspek kes curi kereta mewah yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis, S. Kugan hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk memberi keterangan berhubung insiden "menceroboh" bilik mayat Hospital Serdang pada 21 Januari lepas.

Turut memberikan keterangan ialah empat anggota keluarga mendiang.

Mereka meluangkan masa kirakira dua jam untuk memberikan keterangan kepada polis.

Mereka yang diiringi peguam Gobind Singh Deo, N. Surendran dan anggota Parlimen Kapar, S Manikavasagam tiba di IPD berkenaan pada pukul 9 pagi.

Kugan, 23, yang ditahan pada 15 Januari lepas kerana disyaki terlibat dalam sindiket curi kereta mewah, meninggal dunia semasa dalam tahanan di lokap Balai Polis USJ 8 Subang Jaya pada 21 Januari.

Peguam Negara telah mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh.

Bapa mendiang, G. Ananthan, 46, ketika ditemui pemberita selepas memberikan keterangan itu, berkata, keluarganya bercadang mengambil tindakan undang-undang berhubung kematian anaknya itu.

Beliau bagaimanapun berkata mereka masih belum menetapkan tarikh untuk memfailkan tindakan itu dan menyerahkan kepada peguam untuk berbuat demikian.

Katanya beliau dan isterinya N. Indra, 41, juga hairan mengapa masih tiada sebarang tindakan diambil polis berhubung kes itu dan menurutnya mereka berhak mengetahui status siasatan.

"Saya nak tahu apa jadi sekarang," katanya.

Sementara itu, Gobind memberitahu wartawan, keputusan untuk mendakwa manamana pihak dalam kes itu ditentukan oleh Peguam Negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain