suria

Jangan ulangi kesilapan pilih calon di Bukit Gantang - Tajol

IPOH: Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) diminta belajar daripada kesilapan pada pilihan raya umum lepas berhubung pemilihan calonnya untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang 7 April ini.

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini berkata dalam memilih bakal calonnya, pucuk pimpinan BN perlu menghormati kehendak penduduk tempatan.

"Cuma saya berharap kepada pengundi di Bukit Gantang, siapa juga calon BN yang dipilih oleh pucuk pimpinan, kita kena hormat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan bahawa penamaan calon bagi kerusi itu akan diadakan pada 29 Mac, dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung pada 7 April.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum, 50, daripada PAS pada 9 Feb lepas akibat serangan jantung.

Tajol Rosli berkata beliau yakin bahawa dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Perak dan Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, BN akan mencapai kejayaan dalam pilihan raya kecil itu.

Dalam satu sidang akhbar berasingan, Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz berkata pergerakan itu tidak akan mendesak pucuk pimpinan Umno untuk memilih wakil daripada sayap itu sebagai calon BN di Bukit Gantang.

"Kini bukan masanya untuk berebut jadi calon," katanya.

Rafidah berkata Wanita Umno akan menerima sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon BN di Bukit Gantang.

"Pucuk pimpinan akan membuat penilaian yang terperinci dan akan memilih calon paling sesuai berdasarkan kepada pelbagai maklumat balas," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain