suria

Isteri Pandithan tidak sah Presiden IPF

KUALA LUMPUR: Barisan Progresif India (IPF), yang ditubuh bekas Naib Presiden MIC, mendiang Tan Sri M.G. Pandithan dua dekad lalu, dilanda krisis apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan pemilihan isterinya, Puan Sri Jayashree sebagai Presidennya Disember lalu tidak sah.

Petang ini, Timbalan Presiden IPF, V. Senggutuan yang digantung lebih dua bulan lalu, memberi masa dua minggu kepada pucuk kepimpinan parti itu untuk menyelesaikan masalah dalamannya dengan segera.

KEPUTUSAN ROS: TIDAK TERATUR

- Pelantikan Puan Sri Jayashree Gnanapandithan sebagai Presiden IPF - Penggantungan keahlian Timbalan Presiden, V. Senggutuan; Naib Presiden V. Mathiayalagan serta pengeluaran surat tunjuk sebab ke atas 12 ahli Majlis Tertinggi yang lain - Mesyuarat Agung 14 Disember 2008 - Penubuhan AMIPF peringkat negeri, bahagian dan cawangan

- Penggantungan keahlian Timbalan Presiden, V. Senggutuan; Naib Presiden V. Mathiayalagan serta pengeluaran surat tunjuk sebab ke atas 12 ahli Majlis Tertinggi yang lain

- Mesyuarat Agung 14 Disember 2008

Dalam sepucuk surat bertarikh 30 Januari 2009 kepada parti itu, Pendaftar Pertubuhan, Datuk Md Alias Kalil memaklumkan bahawa pelantikan Jayashree tidak mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Beliau juga mengisytiharkan penggantungan Senggutuan dan naib presiden parti M. Mathyalagan serta pengeluaran notis tunjuk sebab kepada 12 anggota majlis tertinggi parti berkenaan oleh Jayashree pada Disember tahun lepas, tidak sah.

Kandungan surat Pendaftar Pertubuhan itu diedarkan kepada media oleh Senggutuan hari ini.

"Dalam surat berkenaan, ROS juga mengisytiharkan bahawa perhimpunan agung IPF pada 14 Disember tidak mengikut perlembagaan.

"Surat itu juga menyatakan bahawa kesemua mereka yang digantung perlu dikembalikan jawatan masingmasing dan jika tidak, tindakan akan dikenakan mengikut Seksyen 13 Akta Pertubuhan.

"Dengan penjelasan itu, Puan Sri Jayashree bukan lagi presiden parti.

"Saya kembali menjadi timbalan presiden dan dengan itu, saya akan mengambil alih jawatan sebagai pemangku presiden parti. Perdana Menteri dan Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah dimaklumkan tentang perkara ini," kata Senggutuan di sini.

Jelasnya, melalui pertemuan bersama Abdullah pada 30 Januari lalu, Perdana Menteri telah menasihatkan beliau supaya turun berjumpa dengan ahli akar umbi bagi menguatkan parti.

"Perdana menteri juga terkejut dengan apa yang berlaku dalam IPF, beliau memberi sokongan dan nasihat supaya IPF kembali ke landasan asal.

"Beliau mahu IPF terus kekal relevan dan kukuhkan perjuangan parti," katanya.

Walaupun bukan parti komponen BN, IPF, yang merupakan parti serpihan MIC, menyokong parti gabungan itu.

Pertengahan bulan lalu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengajak IPF dan MIC bergabung demi kepentingan masyarakat India.

Mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan beliau dan penyokongnya kini dalam proses mempertimbangkan pelawaan itu, beliau menafikan perkara tersebut.

"Itu tetap khabar angin, saya akan terus kekal bersama IPF dan kami tak akan ke mana-mana (sertai parti lain).

"Sekarang ini ialah masa untuk memperkukuhkan parti," katanya.

Surat itu juga menyatakan bahawa kegagalan mematuhi keputusan itu membolehkan IPF dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 akta berkenaan.

Seksyen itu memberi kuasa kepada ROS untuk membatalkan atau menggantung IPF sebagai sebuah pertubuhan berdaftar.

"Pada asasnya, ia bererti, jika perintah Pendaftar itu tidak dipatuhi, pendaftaran IPF boleh dibatalkan. Saya akan memanggil majlis tertinggi yang lama untuk bermesyuarat dan menentukan tindakan seterusnya yang akan diambil oleh parti," kata Senggutuan.

Selain itu beliau berkata pihaknya mahu IPF mengadakan proses pemilihan dalam parti bagi menentukan semua jawatan di semua peringkat termasuk Presiden.

"Kita tak mahu jawatan dalam parti diberi melalui lantikan sebaliknya kita mahu semua jawatan dipertandingkan dalam pemilihan.

"Punca kepada semua masalah yang wujud dalam IPF sekarang ialah kerana lantikan dibuat sesuka hati tanpa pemilihan," katanya.

Pada perhimpunan agung IPF 14 Disember lalu, Jayashree menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden parti, manakala K. Murugiah dipilih sebagai timbalan presiden dan M. Sambanthan, S. Visvanathan serta K. Naducheralathan sebagai naib presiden.

IPF juga menamakan K. Velayuthan sebagai setiausaha agungnya, manakala M. Thirumugam sebagai bendahari.

Perebutan kepimpinan dalam IPF bermula pada Mei 2008, sejurus selepas kematian Pandithan pada 30 April akibat barah.

Pada 10 November, majlis tertinggi IPF, yang diterajui Jayashree, menggantung jawatan Senggutuan dan Mathyalagan selama tiga bulan manakala ketua pemuda parti itu R. Ravi Shankar diarah melepaskan jawatannya.

Tindakan itu diambil atas alasan Senggutuan telah melanggar peraturan parti, manakala Mathyalagan dikatakan telah membuat kenyataan akhbar yang boleh menjejaskan kepimpinan parti dan Ravi pula diminta melepaskan jawatannya kerana telah diisytiharkan muflis.

Mathyalagan, yang memfailkan saman berhubung pelantikan Jayashree sebagai Presiden IPF, gagal dalam cubaannya untuk menghalang Jayashree daripada menyandang jawatan itu apabila pada 26 Disember 2008, mahkamah berkenaan memutuskan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan menyatakan dengan jelas bahawa mahkamah tidak boleh melayan atau membuat keputusan tentang sebarang saman, permohonan atau prosiding berasaskan sebarang alasan berkaitan keputusan parti.

Para pemimpin yang digantung jawatan juga mengemukakan aduan kepada ROS berhubung tindakan yang dikenakan terhadap mereka oleh Jayashree dan majlis tertinggi baru IPF.

Semalam, Jayashree memfailkan saman terhadap ROS dalam usaha mengetepikan keputusan terbarunya itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain