suria

Tiga penjenayah warga Indonesia ditembak mati

DUNGUN: Tiga daripada lima penjenayah dipercayai warga Indonesia, yang bergerak aktif melakukan rompakan di beberapa daerah di Terengganu ditembak mati di Kampung Santong, Paka dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, lelaki pertama ditembak mati kira-kira pukul 2.45 pagi di sebuah rumah manakala dua rakannya dua jam kemudian, setelah melarikan diri sejauh dua kilometer dari tempat kejadian.

"Bertindak atas maklumat, polis mengesan kesemua penjenayah terbabit berada di sebuah rumah di Kampung Santong kira-kira pukul 2.45 pagi. Ketika polis tiba di rumah berkenaan, sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki terbabit cuba melarikan diri.

"Seorang daripada lima lelaki itu, yang memandu kereta berkenaan cuba melanggar dan keluar menyerang polis dengan parang namun ditembak menyebabkan suspek mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini hari ini.

Mohd Fauzi berkata, empat lagi penjenayah terbabit kemudian bertindak keluar daripada kereta tersebut dan melarikan diri setelah menyedari rakan mereka mati ditembak.

Beliau berkata, kira-kira dua jam kemudian, polis mendapat maklumat bahawa empat suspek terbabit dikesan berada di Batu Tujuh, Jalan Santong iaitu kira-kira dua kilometer dari rumah tersebut.

Ketika polis tiba di tempat tersebut, Mohd Fauzi berkata keempat-empat suspek itu cuba menyerang dengan parang dan polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan dua penjenayah terbabit mati manakala dua lagi melarikan diri ke dalam belukar berhampiran.

"Kita percaya, dua lagi suspek yang melarikan diri turut cedera terkena tembakan. Polis sedang menjalankan operasi bagi mengesan kedua-dua suspek terbabit," katanya.

Hasil siasatan, Mohd Fauzi berkata, polis menemui pelbagai jenis parang, pemotong besi dan pisau yang dipercayai digunakan untuk melakukan rompakan serta barang kemas seperti rantai, cincin dan gelang yang dianggarkan bernilai kirakira RM40,000.

"Kita percaya, sebahagian lagi barang kemas hasil rompakan telah dijual atau dipajak," katanya.

Beliau berkata, polis mengesyaki kesemua penjenayah itu telah melakukan enam kes rompakan di Dungun, masing-masing dua kes di Hulu Terengganu dan Marang serta satu di Setiu.

Mohd Fauzi berkata, polis juga menahan seorang lelaki warga Indonesia, yang merupakan pemilik rumah berkenaan serta adik iparnya, seorang rakyat tempatan bagi membantu siasatan kes berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

13 pegawai SPA Perak tiada kerja

Artikel Lain