suria

Pemuda BN sokong siapa saja calon pilihan raya kecil

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) menyokong penuh sesiapa sahaja calon yang bakal diletakkan untuk bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah.

Pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata seluruh jentera BN akan memberikan komitmen tinggi serta bekerjasama secara sistematik bagi memastikan calon BN menang di kedua-dua kawasan berkenaan.

"Saya menyeru dan mengarahkan agar Pemuda BN perteguhkan ikrar, semangat, satukan tekad serta berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pengundi menyokong dan memilih calon BN pada pilihan raya kecil kali ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan Pemuda BN agar mengamalkan disiplin tinggi serta menjaga tingkah laku berikutan pihak pembangkang seringkali memerhati tingkah laku dan gelagat BN bagi dijadikan modal serangan terhadap parti itu.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah diadakan berikutan wakil rakyatnya, V. Arumugam daripada PKR meletakkan jawatan pada Ahad lepas manakala pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak diadakan ekoran kematian penyandangnya Roslan Shaharum, daripada PAS pada Isnin lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan diadakan serentak dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April jika ada pertandingan.

Sementara itu di KUANTAN, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno tidak akan berdepan sebarang masalah untuk menghadapi kedua-dua pilihan raya kecil itu walaupun diadakan serentak.

Beliau berkata ini kerana pergerakan itu mempunyai jentera yang cukup dan komitmen anggotanya untuk memberikan yang terbaik dalam pilihan raya kecil itu.

"Memandangkan pilihan raya kecil itu akan diadakan selepas pemilihan Umno jadi ahli dapat beri tumpuan sepenuhnya," katanya kepada pemberita di majlis santai bersama Pemuda Umno Indera Mahkota.

"Saya harap masa yang panjang ini kita gunakan untuk pastikan jentera Pemuda dapat disediakan dengan sebaiknya kerana pilihan raya kecil Bukit Gantang penting kerana kita nak buktikan kemenangan Barisan Nasional (BN) boleh jadi kemenangan moral selepas mengambil alih kuasa di Perak," katanya.

Beliau juga berharap pengundi di Bukit Gantang akan buat keputusan berdasarkan sokongan mereka terhadap institusi Raja Berperlembagaan dengan menterjemahkan sokongan itu dalam bentuk undi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

13 pegawai SPA Perak tiada kerja

Artikel Lain