suria

MCA siap sedia hadapi pilihan raya kecil Bukit Gantang

PETALING JAYA: MCA, satu daripada parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), telah mengarahkan jentera pilihan rayanya bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak pada 7 April ini, kata Presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau, yang bertemu dengan para pemimpin MCA Perak semalam, telah meminta jentera parti itu bersiap sedia daripada segi strategi, kempen dan mengemaskini data-data pengundi di kawasan itu.

"Ini bukan soal MCA tetapi yang akan bertanding ialah BN, yang penting pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat dan bukannya tempat untuk melepaskan geram atau membangkitkan isu-isu tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen radio terbaru rangkaian Media Prima Bhd, One FM, di sini hari ini.

One FM beroperasi menggunakan bahasa Kantonis dan Mandarin, ke udara menerusi gelombang 88.1 FM untuk kawasan Lembah Klang, Johor dan Melaka, 87.8 FM di Pulau Pinang dan 97.8 FM di Kedah.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS pada 9 Feb lepas akibat sakit jantung.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac dan jika ada pertandingan, hari pengundian adalah pada 7 April. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

13 pegawai SPA Perak tiada kerja

Artikel Lain