suria

Pemuda BN anjur perhimpunan sokong institusi raja

KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menganjurkan satu perhimpunan 'Himpunan Menjunjung Setia Daulat Tuanku!' secara besar-besaran di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis depan (19 Februari).

Pengerusi Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perhimpunan pada pukul 8 malam itu bukan bertujuan untuk mencipta atau bermusuh dengan mana-mana pihak tetapi sebagai langkah positif ke arah menyatukan suara hati generasi muda secara lebih tersusun dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kedaulatan Institusi Raja-raja dan Sistem Raja Berperlembagaan.

"Senario politik terbaru di negeri Perak ternyata telah membuka lembaran baru kepada sejarah negara ini. Sehubungan dengan itu, Pemuda BN menyedari keadaan bahawa Institusi Raja ini tidak boleh dibiarkan bersendirian dalam menghadapi situasi krisis sebegini.

" Maka dengan rasa tanggungjawab perhimpunan ini akan diadakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai golongan masyarakat termasuk kelompok profesional, bukan profesional, pertubuhan politik, agama, kebajikan dan seni mempertahankan diri dijemput menyertainya.

Katanya adalah menjadi harapan Pemuda BN perhimpunan ini akan menjadi satu indikator kepada seluruh masyarakat bahawa kita semua boleh berpolitik dan berbeza pandangan dengan manamana pihak termasuk istana tetapi tidak boleh melampaui batasan.

"Secara tegas, perhimpunan ini berpendirian untuk mempertahankan kedaulatan institusi Raja dan akan mengambil tanggungjawab mempertahankan kemuliaan Sultan-sultan daripada sebarang bentuk yang mempertikai dan menghina institusi Raja oleh mana-mana pihak," kata Hishammuddin.

Kemelut yang membawa kepada pelbagai penganjuran perhimpunan termasuk daripada Pemuda BN ini tercetus ekoran keengganan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan Exco kerajaan negeri meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta setelah dititah oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sultan Azlan Shah menitahkan demikian pada 5 Februarui lepas setelah Pakatan Rakyat (PR) yang menerajui Perak tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) akibat tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka meninggalkan parti masing-masing sekaligus melihat kuasa pemerintahan kembali kepada BN.

Kemarahan rakyat negeri Perak juga memuncak apabila Pengerusi DAP Karpal Singh membuat kenyataan ingin menyaman Sultan Azlan Shah kerana menitahkan demikian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain