suria

Nizar kosongkan kediaman MB dalam masa 10 hari

[DIKEMAS KINI] IPOH: Selepas lebih dua minggu mendiami kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini bersetuju untuk mengosongkan kediaman tersebut dalam tempoh 10 hari.

Bekas Menteri Besar Perak itu dalam sidang medianya di kediaman tersebut hari ini berkata, beliau mahu meninggalkan kediaman itu dengan penuh maruah.

"Saya dan keluarga akan menyewa di sebuah tempat di Ipoh berdekatan dengan sekolah anak-anak saya," katanya sambil menambah yang beliau membuat keputusan tersebut kerana mengikut undang-undang.

"Dengan meninggalkan kediaman ini, ia tidak akan membahayakan kes yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi esok," katanya.

Katanya, beliau dan exco Pakatan Rakyat akan beroperasi dari tempat yang akan disewanya itu nanti dan ibu pejabat Pakatan Negeri.

Menjawab satu soalan, Mohammad Nizar berkata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah menghubunginya semalam meminta beliau meninggalkan kediaman itu.

"Dengan cara hormat, saya bersetuju untuk meninggalkannya," katanya sambil menambah insiden minggu lalu telah merubah kediaman rasmi itu kepada simbol kerajaan Pakatan di Perak sebagai kerajaan yang sah.

Mohammad Nizar juga berkata, semua exco Pakatan akan meninggalkan 11 kereta Toyota Camry di kediaman rasmi itu Sabtu ini.

"Kami melakukannya kerana menghormati undang-undang yang kita ada," katanya.

Beliau berkata, exco Pakatan tidak lagi menggunakan kereta rasmi tersebut.

"Selepas menyerahkan kembali kereta itu, kami akan menggunakan kenderaan awam, motosikal dan kereta kami sendiri untuk tugas rasmi," katanya.

Ditanya mengapa bekas exco tidak menyerahkan kembali kenderaan tersebut kepada setiausaha negeri, Mohammad Nizar berkata: "Kami rasakan yang kediaman rasmi adalah tempat yang paling sesuai untuk mengembalikan harta rakyat."

Beliau menambah, terpulang kepada kerajaan negeri yang kini diterajui Barisan Nasional untuk datang dan menuntut kereta-kereta itu.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar menegaskan yang Pakatan tidak terlibat dalam menganjurkan perhimpunan bebasr-besaran di Kuala Kangsar, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau ada meminta penyokong-penyokongnya supaya tidak menghadiri perhimpunan itu, Mohammad Nizar berkata, ia adalah pilihan mereka.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata Mohammad Nizar telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau dan keluarganya akan mengosongkan rumah itu dalam masa terdekat.

Katanya, notis berkenaan dijangka akan dihantar kepada Mohammad Nizar esok.

Dr Abdul Rahman meminta Mohammad Nizar dan barisan exco sebelum ini supaya menyerahkan kenderaan rasmi masingmasing berserta kuncinya dengan segera di bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

"Notis meminta mereka menyerahkan kenderaan itu dikeluarkan Khamis lepas dan diserahkan seberapa segera. Kalau dua, tiga hari lewat tidak mengapa tapi ini sudah hampir seminggu. Lagipun kenderaan itu bukan perlu dibungkus tetapi hanya perlu dihidupkan dan dipandu ke bangunan pentadbiran," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada dua bekas Exco iaitu Zainuddin Mohd Yusof dan Tai Sing Ng yang telah memulangkan kenderaan rasmi yang digunakan sebelum ini kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata beliau akan menyerahkan kediaman itu dalam sama terdekat iaitu dalam tempoh sepuluh hari dari sekarang.

"Secara rasmi saya akan keluar dengan cara terhormat dari residensi ini. Selepas ini saya akan tinggal di sini (Ipoh) di kawasan berhampiran tempat anak saya bersekolah. Kita akur kerana ia adalah peraturan," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi itu di sini.

Mohammad Nizar juga berkata kesemua 11 kenderaan rasmi jenis Toyota Camry yang digunakan barisan Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum ini akan diserahkan dengan menempatkan kenderaan itu di dalam kawasan kediaman rasmi menteri besar.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan untuk menyerahkan kenderaan dan kediaman rasmi itu tidak akan menjejaskan apa-apa ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat sebelum ini termasuk menfailkan kes terhadap menteri besar yang baru Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan Exconya.

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain