suria

Najib: Pemimpin BN Sarawak Tunjuk komitmen tinggi

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak, yang dijangka akan menghadapi pilihan raya negeri dalam tempoh dua tahun, telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan ia terus kekal berkuasa di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menemui pemimpin parti-parti komponen BN Sarawak di sini, Najib berkata semangat yang ditunjukkan oleh para pemimpin juga adalah amat baik.

"Tetapi saya telah menasihatkan mereka supaya menjalin hubungan lebih rapat dengan rakyat. Kita perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa BN prihatin terhadap mereka dan juga menjaga kebajikan mereka," katanya yang berada di sini untuk lawatan tiga hari ke Sarawak.

Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN berkata pada pertemuan dengan pemimpin BN hari ini, pelbagai isu telah dibangkitkan dan perkara itu akan dibawa ke kabinet untuk tindakan oleh kementerian berkaitan.

"Satu daripada isu utama yang dibangkitkan ialah berhubung masalah kad pengenalan. Masih banyak lagi penduduk Sarawak di kawasan pedalaman tidak mempunyai kad pengenalan (MyKad). Ini perlu diselesaikan.

"Isu lain ialah penempatan penduduk Sarawak, seperti guru dan jururawat, balik ke negeri asal. Ini juga akan diberi perhatian," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri pagi ini lebih menekankan kepada perubahan budaya yang berlaku dalam politik semasa.

Katanya seperti yang ditekankan oleh Najib, BN harus bergerak mengikut perubahan selain memastikan setiap pemimpin memantapkan hubungan di peringkat akar umbi.

"Semua pemimpin dalam BN hari ini harus akur, mereka harus berubah mengikut budaya politik semasa seperti yang diingatkan oleh Najib pagi ini," katanya kepada pemberita selepas selesai mesyuarat tersebut.

Beliau berkata apa yang berlaku pada pilihan raya umum yang lalu merupakan satu peringatan penting kepada semua pemimpin dalam BN agar lebih mempersiap diri pada pilihan raya negeri dan umum akan datang.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak berjaya memenangi 68 daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala sembilan lagi kerusi jatuh kepada pembangkang iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) 6 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2 kerusi manakala satu lagi kerusi kepada calon bebas.

Sarawak yang diwakili oleh empat parti komponen utama iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dijangka akan mengadakan pilihan raya negeri selewatlewatnya pada 2011. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain