suria

Najib bentang bajet mini 10 Mac, bantuan untuk Sarawak

KUCHING: Bajet mini yang dijadual dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 10 Mac ini, antara lain akan melibatkan bantuan kewangan kepada Sarawak, yang sebahagiannya terjejas teruk oleh banjir dan tanah runtuh barubaru ini.

"Kerajaan persekutuan akan menawarkan bantuan kepada mereka yang terjejas oleh banjir baru-baru ini. Kita telah menyatakan komitmen. Bagi mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir akan menerima RM300 manakala mereka yang tidak tinggal di pusat pemindahan dan tinggal di rumah saudara mara juga akan menerima RM300.

"Kita akan mengagihkan dana berkenaan sebaik sahaja senarai penerima disediakan kepada kita. Bagi para petani, yang hasil tanaman mereka musnah oleh banjir juga akan menerima bantuan. Kadar berkenaan akan diputuskan oleh kerajaan negeri," kata Najib kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional Sarawak (BN) di sini hari ini.

Najib, yang berada di sini sempena lawatan kerja tiga hari ke negeri ini, berkata kerajaan Sarawak juga diminta menilai kerosakan prasarana dan kemudahan awam.

"Kami mahu penilaian kerajaan negeri ini disediakan menjelang akhir bulan ini supaya saya boleh memasukkannya ke dalam bajet mini yang akan dibentangkan pada 10 Mac," kata beliau.

Bajet mini akan dibentangkan bagi mengurangkan kesan krisis ekonomi global. Tahun lepas, Najib membentangkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain