suria

Mubarak gesa Umno bahas usul imuniti raja

KUANTAN: Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia mahu Umno membahaskan usul mengenai imuniti Raja-Raja Melayu pada perhimpunan agungnya bulan depan.

Timbalan Presiden Mubarak, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata ini perlu dibahaskan memandangkan institusi beraja kini sedang dipermainkan oleh pihak tertentu dan Umno perlu bertanggungjawab untuk mengembalikan semula imuniti tersebut.

Beliau yakin sekiranya imuniti dikembalikan, maka tidak ada sesiapa pun yang boleh mendakwa Sultan di mahkamah.

"Kita marah apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Sultan Perak berikutan senario politik di negeri itu, tetapi pada masa yang sama kita sudah lupa, mengapa dia (Karpal) berani berbuat demikian.

"Kini sudah tiba masanya kita perlu sedar dan mengembalikan imuniti ke tempat asalnya supaya rakyat terus menjunjung kedaulatan institusi RajaRaja Melayu," katanya selepas menghadiri Taklimat Mesyuarat Mubarak kebangsaan, di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata orang Melayu dari segi kefahaman institusi Raja Melayu dilihat semakin berkurangan.

Menurutnya kerajaan pada 1993 mengambil keputusan untuk mengurangkan imuniti Raja-Raja Melayu di mana seseorang Sultan atau Raja boleh dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah atau sivil.

Katanya orang Melayu pada waktu itu dilihat menyokong tindakan tersebut atas alasan kedudukan orang Melayu tidak akan tergugat.

"Dengan insiden yang berlaku ketika ini, adalah amat perlu untuk kita kembali berpayung di bawah Institusi Raja, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi juga untuk semua kaum di negara ini," katanya.

Abdul Aziz berkata Umno juga boleh mengusulkan isu itu di dalam Dewan Rakyat untuk mencapai kesepakatan bagi mengembalikan semula kuasa imuniti ke tempat asalnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain