suria

Lelaki miliki 4,700 pil ecstasy dipenjara sembilan tahun, dihukum sebat

SHAH ALAM: Seorang pekerja kedai aksesori kereta dikenakan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan memiliki 4,700 biji pil ecstasy, dua tahun lepas.

Semasa menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh Chin Kek Shen, 25, Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad berkata beliau mengambil kira faktor kepentingan awam dan rayuan tertuduh menerusi peguamnya A. Vasudevan.

"Saya beri anda peluang selaki lagi agar anda insaf dan tidak mengulangi kesalahan yang sama," katanya sambil memerintahkan tertuduh menjalani hukuman mulai tarikh tangkapan pada 3 Okt 2007.

Chin mengaku memiliki 646.1 gram Methylenedioxy Methamphetamine 3.4 (MDMA) atau pil khayal ecstasy di Jalan Kenari 19A, Bandar Puchong Jaya, Puchong, dekat sini, pada 3 Okt 2007.

Tertuduh didakwa megikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara dari lima tahun ke 20 tahun dan minimum 10 kali sebatan.

Sebelum ini,Chin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan mengedar di bawah Seksyen 39B Akta yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, polis bertindak menahan tertuduh yang membawa sebuah beg putih di depan sebuah restoran dan bergelut dengan polis ketika cuba ditangkap.

Hasil pemeriksaan, polis menemui beberapa paket lutsinar yang mengandungi 4,700 bijil pil ecstasy yang setiap sebiji berharga RM30 di pasaran.

Bagaimanapun, selepas lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, mahkamah memutuskan untuk meminda pertuduhan kepada memiliki dan Chin seterusnya menukar pengakuannya kepada bersalah.

Semasa merayu untuk hukuman ringan, Vasudevan berkata anak guamnya merupakan pesalah pertama dan perlu bekerja untuk menyara ibu bapa, datuk serta neneknya yang uzur.

Pendakwaan dijalankan oleh oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain