suria

Calon anak tempatan wakili BN Bukit Gantang

TAIPING: Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata beberapa nama anak tempatan yang dicadangkan oleh Umno Bahagian Bukit Gantang sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang akan dibawa kepada pucuk pimpinan untuk diputuskan.

Beliau berkata senarai nama berkenaan akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diputuskan oleh pucuk pimpinan.

"Kita sudah menerima beberapa nama yang dicadangkan oleh bahagian... pucuk pimpinan akan membuat penilaian. Asasnya calon mesti yang disukai oleh rakyat," katanya selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan Umno Bahagian Bukit Gantang di sini hari ini.

Semalam, Ketua Umno Bukit Gantang Datuk Rosli Husin berkata bahagian berkenaan mahu pucuk pimpinan memilih anak tempatan daripada Umno sebagai calon BN pada pilihan raya kecil yang akan diadakan selepas dua kali pilihan raya umum calon bukan anak tempatan dipilih mewakili BN.

Pilihan raya kecil berkenaan perlu diadakan ekoran kematian penyandangnya Roslan Shaharum daripada PAS, Isnin lepas, akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Roslan menewaskan calon BN Datuk Seri Azim Mohd Zabidi yang juga Bendahari Umno dan calon Bebas, M.Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Kawasan berkenaan sebelum itu diwakili oleh Timbalan Menteri Penerangan Datuk Tan Lian Hoe daripada Gerakan.

Zambry berkata pimpinan negeri memahami sentimen setempat yang mahukan anak tempatan mewakili BN pada kali ini dan penilaian akan dilakukan bagi mengenalpasti calon yang popular dan disenangi rakyat.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi itu terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lainlain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang dan pada pilihan raya umum lepas BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi PKR.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata langkah DAP Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa apabila melantik tiga penasihat kepada Menteri Besar berupakan pengiktirafan kepada kerajaan negeri Perak yang baru.

DAP Perak mendakwa pelantikan yang dibuat tanpa kelulusan exco kerajaan Perak turut melanggar peruntukan undangundang tubuh negeri.

Semalam Zambry mengumumkan pelantikan Datuk Chang Ko Youn sebagai penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S.Veerasingam penasihat Hal Ehwal Masyarakat India dan Datuk Mohd Najmuddin Elias sebagai penasihat Hal Ehwal Agama. Beliau juga mengumumkan pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak.

Mengenai keputusan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk berpindah dari kediaman rasmi, Zambry menyambut baik keputusan berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain