suria

Permohonan Raja Petra lucut kelayakan hakim 17 Februari

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 17 Feb untuk mendengar permohonan editor laman portal Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin untuk melucutkan kelayakan seorang daripada hakim daripada mendengar rayuan habeas corpusnya.

Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk S. Augustine Paul dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin memerintahkan peguam yang mewakili Raja Petra, Malik Imtiaz Sarwar memfailkan permohonan rasmi berhubung perkara itu pagi esok.

Hakim Nik Hashim semasa membenarkan Malik Imtiaz memfailkan permohonan bagi melucutkan kelayakan Paul, berkata mahkamah juga menetapkan untuk mendengar rayuan itu pada hari yang sama.

Pada awal prosiding hari ini, Malik Imtiaz memberitahu mahkamah yang beliau diarahkan Raja Petra untuk memohon melucutkan kelayakan Paul daripada mendengar rayuan itu pagi ini dan beliau memerlukan masa untuk menyediakan keterangan untuk menyokong permohonan itu.

Katanya terdapat dua alasan bagi permohonan itu -- Raja Petra pernah mengulas dalam beberapa artikel dalam Internet mengenai Paul sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan bahawa Paul, sebagai Hakim Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan habeas corpus Raja Petra pada 2001, tetapi Mahkamah Persekutuan kemudiannya membebaskannya.

Malik Imtiaz berkata berdasarkan dua alasan itu, mungkin timbul keadaan berat sebelah terhadap Raja Petra jika Paul kekal sebagai panel hakim.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah membantah permohonan itu, menyatakan isu berat sebelah tidak timbul pada peringkat ini, oleh itu Paul tidak wajar dilucutkan kelayakan daripada mendengar rayuan itu.

Hari ini mahkamah dijadual mendengar hujahan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, selaku perayu dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Raja Petra daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas membenarkan permohonan bagi writ habeas corpus.

Mahkamah juga dijadual mendengar hujahan daripada Raja Petra, yang mengemukakan rayuan balas terhadap Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung beberapa perkara dalam permohonan habeas corpus yang dibangkitkan di Mahkamah Tinggi tetapi masih belum diputuskan.

Pada 7 Nov tahun lepas, Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membebaskan Raja Petra daripada tahanan ISA dan memutuskan penahanannya oleh Syed Hamid mengikut Seksyen 8, ISA tidak termaktub dalam skop seksyen itu.

Beliau kemudian memerintahkan Raja Petra, 58, yang ditahan di kem tahanan Kamunting di Taiping, Perak, sejak 12 Sept, 2008, dibawa ke mahkamah itu untuk dibebaskan.

Raja Petra, 58, memfailkan writ habeas corpus memohon dibebaskan atas alasan penahanannya mengikut ISA adalah melanggar undang-undang dan perlembagaan. Beliau menamakan Syed Hamid sebagai responden. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Bukit Selambau pula "hilang"

Artikel Lain