suria

Lima pemimpin Hindraf kekal dalam tahanan ISA

PUTRAJAYA: Lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) kekal dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak usul untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang menafikan kebebasan mereka.

Mereka membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan sebagai usaha terakhir selepas gagal mendapatkan panel dari mahkamah sama untuk melepaskan mereka.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman yang bersidang bersama Hakim Datuk S. Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin memutuskan bahawa usul yang dikemukakan oleh lima pemimpin itu tidak layak untuk semakan.

Nik Hashim berkata keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini adalah berdasarkan dua kes Mohamad Ezam Mohd Nor dan Tan Sri Raja Khalid.

"Sama ada keputusan itu betul atau salah...ia bukan untuk mahkamah ini menentukan. Jika kita melakukan percubaan untuk berbuat demikian maka ia akan mendorong kepada satu lagi rayuan dan kami tidak bersedia untuk melakukannya. Oleh itu, kami menolak usul tersebut untuk semakan," katanya.

Lima pemimpin Hindraf tersebut ialah peguam M. Manoharan, 46, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, P. Uthayakumar, 46, V.Ganabatirau, 40, R. Kenghadharan, 40 dan bekas pegawai bank, K. Vasantha Kumar, 36.

Mereka ditahan di bawah ISA pada 13 Dis, 2007 selepas terbabit dalam demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur pada 25 Nov dan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Pada 14 Mei, 2008, panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff (kini Presiden Mahkamah Rayuan) menolak rayuan mereka selepas memutuskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kapasitinya ketika itu sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri berhak mengeluarkan perintah tahanan itu.

Pada 26 Feb 2008, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan mereka dan memerintahkan bahawa perintah tahanan yang dikeluarkan oleh Abdullah pada 13 Dis 2007 mematuhi keperluan prosedur di bawah akta itu.

Dalam writ habeas corpus lima lelaki berkenaan, mereka mendakwa penahanan mereka adalah tidak sah kerana alasan penahanan yang dicatatkan dalam perintah itu adalah tidak jelas.

Dalam permohonan itu, mereka menamakan Menteri Dalam Negeri dan penguasa Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting sebagai responden.

Kelima-lima tahanan itu diwakili oleh peguam Karpal Singh, Gcbind Singh Deo dan Ram Karpal Singh manakala Peguam Kanan Persekutuan Datuk Abdul Wahab Mohamad bertindak bagi pihak responden. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Bukit Selambau pula "hilang"

Artikel Lain