suria

Ketua Polis Selangor beri keterangan kes Kugan

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi memberi keterangan berhubung kes A.Kugan, tahanan yang mati dalam lokap pada 20 Jan lepas.

Beliau tiba pada 3 petang dan selesai memberi keterangan setengah jam kemudian kepada dua pegawai polis dari Bukit Aman, ACP Razali Basri dan Cif Insp Rasha Aswadi.

"Tidak ada apa-apa yang perlu dikomen, saya dah beri keterangan yang sepatutnya. Biarlah pihak polis menjalankan siasatan mereka," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam sebelum ini membuat laporan polis terhadap Khalid kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu mengenai dakwaan kononnya dua timbalan menteri serta keluarga Kugan telah menceroboh bilik mayat Hospital Serdang pada 20 Jan lepas.

Kugan, 23, yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, pada 15 Jan lalu ditemui mati ketika ditahan dalam lokap di Balai Polis USJ Subang Jaya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Bukit Selambau pula "hilang"

Artikel Lain