suria

Tiada cadangan guna ISA terhadap Karpal - PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata setakat ini tiada cadangan untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terhadap Karpal telahpun dimulakan dan ketika ini, siasatan masih berjalan.

"Dan apabila siasatan itu selesai, laporan siasatan akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk apa jua tindakan yang wajar yang boleh diambil terhadap Karpal," katanya selepas merasmikan persidangan Eksekutif Muda Khidmat Awam 2009: Kepimpinan Masa Depan Sektor Awam dan Misi Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan pelbagai pihak yang mahu tindakan segera diambil terhadap Karpal termasuk di bawah ISA bagi mempertahan ketenteraman awam di seluruh negara.

Karpal Singh sebelum ini memberi amaran kepada mana-mana pihak yang membuat laporan polis terhadapnya berhubung tindakan mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah agar bersedia dengan apa juga akibatnya.

Mengenai sama ada perlu mengenakan tindakan terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang enggan keluar dari pejabat dan kediaman rasmi menteri besar, Abdullah berkata ia tidak perlu kerana Nizar boleh dinasihati dengan tegas agar berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya Mohammad Nizar akan keluar akhirnya dan tidak akan mengambil masa yang panjang kerana pihak kerajaan negeri telah mengingatkannya berulangkali bahawa beliau mesti meninggalkan rumah dan kediaman rasmi tersebut berikutan menteri besar yang baru telahpun dilantik. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain