suria

Syed Hamid jamin laporan polis terhadap Karpal diteliti

TAWAU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberi jaminan bahawa pihak polis akan meneliti semua laporan yang diterima berhubung tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengheret Sultan Perak ke mahkamah.

Beliau berkata selepas siasatan selesai dilakukan, pihak polis akan mendapatkan nasihat Peguam Negara mengenai tindakan susulan yang perlu dimabil.

"Kita berterima kasih kepada setiap organisasi yang memberikan sokongan dan di atas segala (desakan) mengenai tindakan yang perlu kita lakukan tetapi oleh kerana ia sudah menjadi sesuatu berasaskan laporan polis, biar pihak polis siasat perkara ini.

"Kita cukup teliti sebelum kita ambil tindakan ke atas mana-mana pihak. Kita juga cukup prihatin terhadap kerisauan dan keresahan rakyat bila institusi (beraja) kita dicaci dan dicerca atau tidak dihormati.

"Ini (institusi beraja) adalah asas kenegaraan kita dan kita mahu semua pihak menghormatinya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapannya dalam majlis Bicara Tokoh bertajuk "Adakah ISA Satu Penganiayaan Kepada Rakyat" di Auditorium Perpustakaan Tawau di sini malam tadi.

Beliau mengulas mengenai berpuluh-puluh laporan polis yang dibuat pelbagai organisasi di seluruh negara berhubung kenyataan Karpal Singh sebelum ini yang mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Syed Hamid berkata sebagai rakyat Malaysia, seseorang itu bukan sahaja perlu patuh kepada undangundang tetapi juga mesti menghormati institusi yang menjadi sebahagian daripada tonggak pembinaan negara bangsa Malaysia.

Katanya kefahaman dan kepatuhan kepada institusi negara yang menekankan soal toleransi dan keharmonian amat penting dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara yang berterusan.

"Memang kita tidak mempunyai toleransi kepada mereka yang melafazkan penderhakaan atau mengeluarkan kata-kata menghina institusi negara kerana kekuatan sesebuah negara itu berasaskan tamadun yang bersendikan penghormatan kita kepada institusi yang dibentuk dan dibina," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid juga mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang boleh dianggap sebagai menghasut dan boleh menimbulkan perasaan marah atau konflik di dalam negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain