suria

Permintaan MIC diyakini dapat reaksi positif

PUTRAJAYA: Permintaan MIC supaya speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan seorang pegawai bertaraf Exco dilantik di kalangan anggota parti itu diyakini akan mendapat reaksi positif daripada kerajaan negeri.

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S. Subramaniam berkata cadangan itu dibuat memandangkan Undang-undang Tubuh Negeri Perak tidak mensyaratkan speaker daripada kalangan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sementara cadangan bagi pelantikan pegawai bertaraf Exco pula adalah sebagai wakil masyarakat India di negeri itu memandangkan Perak mempunyai penduduk India kedua tertinggi di negara ini selepas Selangor, katanya.

"Kita telah memberi senarai calon-calon yang sesuai kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (sebagai pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Perak) dan beliau memberitahu akan memberi satu pandangan yang positif dalam masa terdekat," katanya.

Menteri Sumber Manusia itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina kementerian, di sini hari ini. Pada majlis itu Subramaniam turut menyerahkan sumbangan bernilai RM29,230 kepada Tabung NSTP Untuk Gaza.

Semasa Perak di bawah kerajaan BN, iaitu sebelum pilihan raya Umum 8 Mac tahun lepas yang menyaksikan Perak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sebelum kembali semula ke tangan BN baru-baru ini, sekurang-kurangnya empat Exco akan diisi oleh Adun MCA, Gerakan dan MIC iaitu dua daripada MCA dan masing-masing satu daripada Gerakan dan MIC.

Kekalahan MIC di semua empat kawasan DUN yang mereka tandingi iaitu Sungkai, Hutan Melintang, Behrang dan Pasir Panjang, pada pilihan raya umum 2008 bagaimanapun menyebabkan tiada wakil parti itu dilantik ke jawatan Exco, memandangkan perlembagaan negeri hanya membenarkan jawatan Exco diisi oleh Adun.

Mengenai kemungkinan MIC mahu meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Selambau, Kedah, Subramaniam berkata kerusi tersebut sememangnya merupakan kerusi tradisi MIC.

Bagaimanapun katanya, setakat ini masih belum terdapat sebarang perbincangan mengenainya dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

"Presiden parti kita akan bincang dengan pucuk pimpinan BN tentang pendirian MIC dalam hal ini.

"Kita akan buat keputusan berasaskan tradisi dan selepas perbincangan itu," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau dijangka diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya V. Arumugam semalam.

Arumugam, 55, adalah pesara mekanik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya lalu dan memenangi kerusi itu setelah mengalahkan calon BN S.Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Berdasarkan statistik pilihan raya umum 2008, Bukit Selambau mempunyai 34,977 pengundi dengan 50 peratus adalah pengundi kaum Melayu, hampir 30 peratus pengundi kaum India dan hampir 20 peratus kaum Cina. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain