suria

Notis diterima, SPR mesyuarat Jumaat

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima notis kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya telah menerima notis kekosongan kerusi Parlimen daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia

Dalam pada itu pejabat SPR negeri Kedah pula menerima notis kekosongan kerusi DUN daripada Speakernya, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail sebentar tadi.

"Kami telah menerima salinan menerusi fax, manakala notis asal akan diterima kemudian, kata Pengarah Pilihan Raya Kedah, Zainal Abidin Zakaria ketika dihubungi sebentar tadi kira-kira pukul 5.15 petang.

Ketika sedang berbual dengan mStar Online, Speaker DUN Kedah mengunjungi Zainal, difahamkan membawa surat asal notis peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam.

Zainal berkata beliau akan membawa surat asal tersebut ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya esok.

"Saya akan berada di Putrajaya esok pagi," katanya.

Dalam pada itu Abdul Aziz berkata pihaknya akan bertemu Jumaat ini untuk menentukan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan tersebut.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan akan diadakan pada hari yang sama, beliau enggan mengulas lanjut tetapi menyatakan perkara berkenaan akan diputuskan pada mesyuarat Jumaat ini.

Terdahulu pada tengah hari tadi, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membincangkan mengenai kekosongan dan langkah-langkah seterusnya termasuk tarikh mengadakan pilihan raya kecil bagi dua kerusi berkenaan. pada mesyuarat yang akan diadakan Jumaat ini.

"Kita sudah tentukan tarikh mesyuarat...tak boleh ditangguhkan," katanya.

Tambah beliau, mesyuarat tersebut akan menentukan kewujudan kekosongam kedua-dua kerusi tersebut.

"Dalam kes Parlimen Bukit Gantang, sudah jelas sebab ia berpunca dari kematian manakala DUN Bukit Selambau, kita akan melihat notis dan dokumen-dokumen yang disertakan," katanya.

Selepas mesyuarat itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan mengadakan sidang akhbar yang dijadualkan pada 11 pagi di Bilik Gerakan SPR, Aras 5, Blok C7, Kompleks C, Putrajaya.

Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada PAS, Roslan Shaharum, 50, meninggal dunia pagi semalam akibat serangan jantung, selepas terjatuh daripada basikal yang dinaikinya ketika dalam perjalanan ke farmasi berdekatan Batu Gajah, Perak.

Sementara itu malam tadi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula mengumumkan peletakan jawatan V. Arumugam sebagai ADUN Bukit Selambau dan Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan itu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas SPR menerima notis pengosongan kerusi.

Minggu lalu SPR mengumumkan tiada pilihan raya kecil di DUN Behrang dan Changkat Jering walaupun Speaker DUN Perak V. Sivakumar mengumumkan kekosongan.

SPR memutuskan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) kekal sebagai ADUN di kawasan masing-masing kerana wujud keraguan pada surat peletakan jawatan yang dikatakan dihantar kedua-dua ADUN itu kepada Speaker DUN Perak.

BERITA TERDAHULU

SPR belum terima notis kekosongan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi ini belum menerima notis kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

"Belum terima notis," kata pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika dihubungi sebentar tadi kira-kira pukul 10.45 pagi.

Kedua-dua kerusi berkenaan kosong ekoran Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal dunia manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, Kedah, V Arumugam meletak jawatan.

Roslan, 50, wakil PAS yang memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya umum lalu selepas menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi, meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 12 tengahari semalam di Batu Gajah, selepas terjatuh ketika mengayuh basikal ke farmasi bagi membeli ubat.

Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan 11 anak, adalah bekas Pengerusi Yayasan Perak ketika Pakatan Rakyat memerintah.

Sementara itu, peletakan jawatan Arumugam sebagai Adun dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Masyarakat India Kedah, yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam didakwa kerana menerima ugutan daripada pihak-pihak tertentu termasuk wakil Barisan Nasional (BN).

Arumugam kononnya diugut supaya meninggalkan Pakatan Rakyat bagi menyertai BN.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain