suria

Nik Aziz tolak Nizar calon Bukit Gantang

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan cadangan DAP agar bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang nanti.

Menteri Besar Kelantan itu berpendapat selagi Mohammad Nizar masih dianggap oleh Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak, adalah tidak sesuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu dicalonkkan bertanding untuk kerusi Parlimen itu.

"Kalau tanya saya, saya tidak boleh terima seorang yang berjawatan MB (Menteri Besar) ambil (wakili kawasan) Parlimen...kecuali orang yang tidak berjawatan MB.

"Bagi saya tidak elok kalau MB Perak (Mohammad Nizar) turut bertanding di kawasan lain, sedangkan dia mempunyai kedudukan di kawasan lama.

"Ini seperti yang dilakukan bekas Presiden PAS dahulu, (Allahyarham) Datuk Asri Muda, yang bertanding di dua kerusi ketika memegang jawatan Menteri Besar Kelantan," katanya di pejabatnya di sini, hari ini.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz memuji langkah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, Kedah, V. Arumugam yang meletak jawatan sebagai Adun dan Exco kerajaan negeri semalam sebagai seorang yang berprinsip.

Beliau juga bersetuju jika pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau diadakan secara serentak kerana ia dibolehkan mengikut peruntukan perlembagaan dan undang-undang negara.

Katanya jika kesihatannya mengizinkan, beliau akan pergi berkempen pada pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu.

Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang akan diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada PAS Roslan Shaharum, 50, semalam akibat diserang sakit jantung manakala pilihan raya DUN Bukit Selambau pula berikutan peletakan jawatan oleh Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain itu, Nik Abdul Aziz memuji rakyat Kelantan yang disifatkannya sebagai matang berpolitik menyebabkan negeri itu mampu dipertahankan PAS walaupun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan daripada musuh politiknya.

Beliau berkata walaupun Kelantan diperintah PAS namun pelbagai projek pembangunan berjaya dilaksanakan kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat.

Sementara itu di IPOH Nizar berkata Pakatan Rakyat (PR) masih belum memuktamadkan calonnya pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Ini disebalik cadangan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sitiawan Datuk Ngeh Koo Ham semalam agar beliau bertanding di kerusi itu.

Mengenai cadangan itu, Nizar memberitahu, masih terlalu awal untuk Pakatan Rakyat membuat keputusan, dan ia mesti dibincangkan pada mesyuarat parti peringkat pusat dan negeri.

"Saya fikir masih terlalu awal. Persoalan itu tidak timbul kerana kami mempunyai keutamaan lain yang lebih penting. Terdapat banyak calon lain berpotensi yang kami boleh pertimbangkan.

"Saya bukan dari kawasan itu, jadi biarlah saya jalankan tanggungjawab saya sebagai Menteri Besar kerana itu lebih diperlukan ketika ini," katanya di kediaman Menteri Besar Perak.

Beliau percaya pilihan raya kecil itu akan menjadi petunjuk terhadap sentimen penduduk Perak, daripada segi sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional.

"Hinggakan, ia akan membawa kepada pungutan suara, di mana penduduk Perak akan memberikan keputusan mereka pada hari bekernaan yang akan menyokong Pakatan Rakyat. Saya fikir anda boleh tafsirkan sebegitu.

"Melihat kepada sokongan padu yang diberikan penduduk Perak kepada kerajaan yang sah yang telah mereka pilih sejak 10 bulan lepas, ia akan menjadi petunjuk akan sokongan berterusan mereka (penduduk Perak).

"Mereka akan mengulangi (undi mereka) tetapi kali ini, mereka pasti akan berikan kita (Pakatan Rakyat) majoriti besar dan kemenangan," kata Nizar.

Pada pilihan raya umum 2008, Roslan memenangi kerusi Bukit Gantang dengan menewaskan bendahari Umno Datuk Abdul Azim Zabidi dan calon Bebas Mohganan P. Manikam.

Roslan memperoleh 20,015 undi berbanding Azim yang meraih 18,449, manakala calon Bebas hilang deposit apabila hanya memperoleh 872 undi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain