suria

Karpal enggan mohon maaf

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata beliau tetap akan meneruskan rancangannya untuk menyaman Sultan Perak, kerana menurutnya, tindakan itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.

Katanya, beliau sedia didakwa di mahkamah sekiranya tindakannya itu tidak mengikut lunas undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, Karpal juga berkata beliau tidak akan memohon maaf kerana menganggap rancangannya untuk menyaman Sultan Azlan Shah bukan berupa penghinaan atau mencabar kedaulatan sultan.

"Selepas tahun 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan satu mahkamah khas ditubuhkan di mana secara jelas menyatakan raja-raja dan sultan boleh dibawa ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut bila beliau akan mengemukakan saman itu.

Sementara itu, perkarangan Mahkamah Tinggi di Ipoh dipenuhi petugas media, polis dan kira-kira 100 orang yang memakai lilitan kain berwarna kuning dengan tulisan "Daulat Tuanku" ekoran ura-ura Karpal akan mengemukakan samannya hari ini.

Mereka berkumpul sejak pukul 8 pagi dan bersurai kira-kira pukul 3 petang selepas menerima maklumat Karpal tidak akan hadir dan beliau berada di ibu negara.

Anak Karpal, Gobind Singh Deo, ketika dihubungi mengesahkan Karpal tidak akan memfailkan saman itu hari ini.

Kira-kira pukul 10 pagi tadi di pejabat Karpal di Jalan Pudu di sini, kira-kira 200 anggota Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan Selangor mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah hasrat Karpal.

Ketua Pemuda Umno Bukit Bintang, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin berkata, tindakan Karpal dianggap biadap dan kurang ajar kerana tidak memikirkan sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Tindakan Karpal menghasut fikiran rakyat agar membenci Sultan dan Raja, ia cukup bahaya," katanya.

Di IPOH, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dilucut jawatan Menteri Besar memberitahu sidang media bahawa Pakatan Rakyat akan memfailkan saman bagi mencabar pelantikan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru di Mahkamah Tinggi esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain