suria

DUN Bukit Selambau: PKR letak calon berbangsa India

MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkemungkinan besar memilih calon berbangsa India pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Bukit Selambau di Kedah berikutan peletakan jawatan penyandang kerusi tersebut V. Arumugam semalam.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu akan meletakkan calonnya memandangkan kerusi DUN berkenaan diperuntukkan kepada PKR.

"Kemungkinan besar kita ganti dengan calon keturunan India," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan anggota PKR Melaka di Cheng, di sini, malam tadi.

Arumugam, 55, pesara mekanik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), memenangi kerusi DUN Bukit Selambau atas tiket Bebas selepas mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) S. Krishnan dengan majoriti 7,695 undi pada pilihan raya umum ke12, Mac tahun lepas.

Beliau muncul sebagai calon bebas di saat-saat akhir hari penamaan calon setelah borang pencalonan wakil PKR Saiful Izham Ramli ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas masalah teknikal.

Arumugam kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai Anggota Exco Kerajaan Negeri dengan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Anwar berkata Arumugam telah memaklumkan kepada beliau dan Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengenai keputusannya meletak jawatan sebagai anggota exco dan anggota DUN Bukit Selambau.

Mengenai pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak yang bakal diadakan berikutan kematian Roslan Shaharum, 50, akibat diserang sakit jantung di Batu Gajah semalam, Anwar menyerahkan kepada PAS untuk menyenaraikan calon yang sesuai daripada parti itu.

Beliau berkata Pakatan Rakyat memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain