suria

Situasi Perak bukti keretakan Pakatan Rakyat

KOTA BAHARU: Senario politik di Perak ketika ini nyata membuktikan keretakan serius yang berlaku dalam parti gabungan Pakatan Rakyat dan tidak mustahil gabungan itu akan berakhir.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata keadaan itu juga memperlihatkan ideologi parti gabungan dalam Pakatan Rakyat tidak sehaluan dengan pemimpin mereka saling menunding jari antara satu sama lain.

"Ini satu realiti yang berlaku dalam Pakatan Rakyat dan gabungan itu ternyata sangat rapuh dan tidak boleh menyamai kesepakatan dalam Barisan Nasional (BN)," katanya pada majlis makan malam meraikan media sempena Tahun Baru Cina di sini, malam tadi.

Pengerusi DAP, Karpal Singh pada sidang akhbar semalam tanpa berselindung menyalahkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang apa yang berlaku di Perak.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu bukan sahaja menuding jari kepada Anwar tetapi juga kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mustapa berkata tindakan Karpal Singh yang ingin menyaman Sultan Perak kerana merestui pembentukan kerajaan baru BN di Perak sebagai perbuatan di luar batasan dan biadap.

Sehubungan itu beliau mahu Pakatan Rakyat menghentikan daripada mengeluarkan kenyataan yang mendorong rakyat mengadakan demontrasi jalanan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keamanan negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain