suria

Mukhriz saran PAS Perak sertai BN

KUALA LUMPUR: PAS Perak hari ini disaran menyertai Barisan Nasional (BN) bagi mengukuhkan perpaduan Melayu dan seterusnya membentuk satu pentadbiran kerajaan negeri yang lebih mantap.

Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, PAS harus mempertimbangkan cadangan berkenaan agar sebuah kerajaan negeri yang kuat dan bersatu padu dapat dibentuk.

"Dengan cara itu, kita (BN) akan dapat memimpin dan mentadbir negeri Perak dengan lebih terjamin dan berkuasa kerana gabungan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) BN, Bebas dan PAS akan dapat mewujudkan satu pentadbiran negeri yang lebih mantap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Majlis Makan Malam Gala Persatuan Sindrom Down Malaysia di sini hari ini.

Katanya, apabila orang Melayu bersatu, semua masyarakat di negara ini akan mendapat manfaat dan faedahnya.

Mukhriz berkata demikian ketika mengulas pergolakan politik di Perak sehingga menyebabkan kepimpinan negeri itu yang sebelum ini dipimpin oleh Pakatan Rakyat bertukar tangan kepada BN.

Pada pilihan raya umum lepas, PAS memenangi enam kerusi, PKR (7) manakala DAP (18) dan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Namun begitu pada minggu lepas dua Adun PKR dan seorang Adun DAP isytihar keluar parti untuk menjadi Adun Bebas dan menyatakan sokongan mereka kepada BN.

Mukhriz berkata, anggota parti komponen BN tidak harus khuatir sekiranya ada usaha serta gerak kerja ke arah penyatuan antara Umno dan PAS di Perak.

Beliau turut meminta Pengerusi DAP Karpal Singh supaya tidak meneruskan hajatnya untuk menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan menerima hakikat Perak kini sudah di bawah pentadbiran BN. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain