suria

PM minta bank tidak sekat beri pinjaman

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap bank tidak sewenang-wenangnya menyekat pengeluaran pinjaman dan sebaliknya memastikan kecairan mengalir ke dalam ekonomi.

Katanya, kerajaan akan meneruskan usahanya untuk merangsang ekonomi di dalam keadaan yang sukar sekarang ini tetapi sektor kewangan perlu terus memainkan peranan mereka secara aktif dengan baik.

Abdullah juga menyatakan bahawa ekonomi Malaysia memerlukan transformasi seterusnya seperti berpindah dari kelebihan berdaya saing berasaskan pelaburan kepada suatu keadaan yang dipacu oleh teknologi, jika negara ini ingin mencapai matlamat status negara maju 2020, iaitu menghapuskan kemiskinan dan mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.6 peratus menjelang 2010.

Beliau seterusnya menggariskan beberapa strategi seperti pengukuhan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana dan pengukuhan kewangan Islam yang penting bagi kejayaan masa depan Malaysia.

Dalam persekitaran dwikewangan, kewangan Islam terbukti menjadi saru saluran perantaraan kewangan berdaya maju kerana ia juga berdaya saing di segi produk dan penawaran perkhidmatan.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis ulang tahun ke-50 Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.

Dengan itu, beliau melihat kewangan Islam kian menjadi satu bahagian penting sistem kewangan antarabangsa, dengan Malaysia berharap untuk menggunakan kelebihan pengalamannya di dalam sektor itu bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan di seluruh dunia.

"Saya berani berkata bahawa sistem kewangan Islam merupakan bukti integriti dan kesahihannya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain