suria

Hina Sultan: Polis terima 16 laporan terhadap pemimpin Pakatan

IPOH: Polis setakat hari ini menerima 16 laporan daripada ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu terhadap pemimpin Pakatan Rakyat yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung kemelut politik di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata laporan polis itu dibuat sejak semalam hingga petang ini.

Kesemua laporan tersebut akan disiasat, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Zulkefli juga berkata tiga daripada sembilan lelaki yang ditahan terbabit dalam perhimpunan dan rusuhan di perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar semalam telah dibebaskan hari ini dengan jaminan polis manakala enam lagi dijangka dibebaskan esok.

Beliau berkata polis masih lagi mengesan beberapa individu yang terlibat dalam rusuhan itu.

"Siasatan awal polis mendapati kebanyakan individu yang menyertai perhimpunan dan rusuhan haram itu datang dari luar Perak dan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta", katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain