suria

Exco BN akan adil kepada semua

IPOH: Barisan anggota Exco baru kerajaan Perak Barisan Nasional (BN) akan mengambil kira tiga kaum utama, kata Menteri Besar yang baru dilantik Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

"Saya akan buat pengumuman dan anda akan Iihat barisan exco itu dan sudah pasti saya akan mengambil kira kesemua tiga kaum utama di negeri kita," kata beliau kepada pemberita bila ditanya tentang kemungkinan timbul masalah dalam mewujudkan imbangan dari segi kaum dalam barisan exco.

Zambry yang sebelum itu menghadiri perjumpaan Tahun Baru Cina Gerakan Perak di Kg Simee juga ditanya mengenai perkara itu memandangkan terdapat hanya satu kerusi dimenangi oleh MCA dan kesemua 27 kerusi lain dimenangi Umno.

ADUN MCA itu ialah Dr. Mah Hang Soon (Chenderiang) yang juga timbalan ketua pemuda kebangsan parti itu.

Zambry berkata, ada banyak cara tetapi beliau tidak menjelaskan lebih lanjut.

Mengenai ADUN wanita bebas yang meninggalkan DAP, Hee Yit Foong (Jelapang), yang pernah menjadi Timbalan Speaker dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR), Zambry berkata:

"Saya akan umumkan (kedudukan Hee) kemudian".

Berhubung ketiadaan wakil India di kerusi negeri BN, beliau berkata, "saya mengambil kira setiap kemungkinan. Saya perlu mengkajinya, saya tidak mahu sesuatu komuniti ketinggalan".

Zambry juga meminta bekas Menteri Besar PR Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan anggota exconya menghormati perintah Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya meletak jawatan oleh kerana baginda mempunyai kuasa mutlak dan prerogatif dalam hal itu.

Sebagai bekas Ketua Hakim Negara, baginda membuat perintah itu berdasarkan undangundang negara, dan Pakatan Rakyat dan rakyat hendaklah menghormatinya, ujar beliau.

Beliau juga berkata, Nizar boleh terus tinggal di kediaman rasmi Menteri Besar dan menggunakan kereta rasmi negeri oleh kerana kata Zambry beliau mempunyai rumah dan kereta sendiri untuk digunakan.

Apa yang penting ialah bagi beliau (Zambry) menjalankan kerjanya dengan baik, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain