suria

Mesyuarat BN Perak 5 petang dihadiri Najib dibatal

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Mesyuarat Barisan Nasional (BN) Perak yang dijadualkan berlangsung pada pukul 5 petang ini dibatalkan berikutan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat hadir.

Setiausaha Umno Negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu kira-kira pukul 3 petang tadi.

"Mesyuarat tersebut terpaksa dibatalkan kerana Datuk Seri Najib mempunyai urusan penting di Kuala Lumpur," katanya kepada mStar Online, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Selepas mesyuarat itu Najib dijadual mengadakan sidang media dan menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) di SJK (C) Yuk Choy, yang terletak berdekatan dengan kediaman rasmi Mentri Besar.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja BN Perak, Datuk Hasbullah Osman ketika dihubungi The Star berkata, mesyuarat tersebut ditangguhkan sehingga esok.

Kata beliau, pembatalan pertemuan petang ini adalah disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah semasa dihubungi enggan menyatakan sebab mesyuarat tersebut dibatalkan.

"Tanya penganjur... bagaimanapun kami akan menempatkan anggota di kawasan berkenaan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katamya.

Pagi ini, DAP pula telah meminta anggotanya supaya menyertai himpunan membawa lilin di kawasan sambutan Tahun Baru Cina Barisan Nasional sebagai tanda protes terhadap ikatan itu ekoran tumbangnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

BERITA TERDAHULU

Barisan Exco?: Najib pengerusi mesyuarat BN Perak 5 petang

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Perak akan mengadakan mesyuarat petang ini bagi membincangkan langkah-langkah pengukuhan parti selepas secara rasminya mengambil alih pentadbiran negeri semalam.

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Najib Tun Razak mulai pukul 5 petang di pejabat Umno Negeri.

"Kita akan bincangkan cara untuk memperkukuhkan BN setelah kembali dapat memerintah di negeri ini.

"Kita akan bincangkan strategi setelah melakukan 'selangkah yang keramat' terutama dalam usaha memulihkan kembali parti," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Ramly berkata, mesyuarat tersebut juga akan membincangkan berhubung tindakan Pakatan Rakyat yang memanipulasi pelantikan secara rasmi Menteri Besar yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir semalam yang didakwa mereka sebagai tidak sah.

Ditanya sama ada mesyuarat tersebut akan turut membincangkan barisan Exco baru negeri itu, Ramly berkata, hal itu tidak akan dibincangkan hari ini.

"Menteri Besar akan mengemukakan cadangan berhubung pelantikan Exco dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri.

"Ia amat sulit dan tidak boleh dibincangkan secara terbuka," katanya.

Semalam, Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Ia sekali gus mengembalikan negeri Perak kepada BN setelah 11 bulan 'kehilangan' negeri itu kepada Pakatan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Bagaimanapun, pelantikan Zambry semalam dianggap tidak sah oleh Pakatan Rakyat kerana dikatakan tidak mengikut perlembagaan.

Pagi tadi, Najib ketika ditanya mengenai pemilihan barisan exco yang boleh mewakili masyarakat kaum India memandangkan kesemua 28 ADUN Perak hanyalah wakil dari Umno dan MCA berkata, perkara itu akan diumumkannya kelak.

Di bawah kerajaan BN terdahulu iaitu sebelum Pilihan Raya Umum 8 Mac tahun lepas, sekurangkurangnya empat Exco akan diisi oleh ADUN MCA, Gerakan dan MIC iaitu dua daripada MCA dan masing-masing satu daripada Gerakan dan MIC.

Dalam keadaan sekarang dengan wakil BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), 27 daripada 28 ADUN adalah daripada Umno dan satu daripada MCA, orang ramai pasti melihat kepada ketidakseimbangan dalam barisan Exco berdasarkan wakil parti komponen.

ADUN MCA adalah Dr Mah Hang Soon (Chenderiang), yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda kebangsaan parti itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain