suria

Kediaman rasmi MB tidak penting - Zambry

IPOH: Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang semalam mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru berkata, kediaman rasmi tidak penting bagi beliau.

Katanya, apa yang penting ialah berkhidmat kepada rakyat dan beliau boleh menjalankan urusan selaku Menteri Besar dari rumah.

"Biar beliau (Nizar) mengambil masa yang diperlukan.

"Kediaman rasmi tidak penting. Apa yang penting ialah berkhidmat untuk rakyat," kata beliau di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina parti Gerakan Perak di sini.

Ia merupakan acara rasmi pertama beliau setelah menjawat jawatan Menteri Besar.

Zambry menegaskan bahawa beliau bukanlah Menteri Besar yang mewakili satu kaum atau parti tertentu, sebaliknya untuk semua rakyat Perak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

"Saya bukannya Menteri Besar yang mewakili kaum atau parti tertentu.

"Jawapannya ialah tidak... tidak... tidak," katanya.

Kenyataannya itu disambut dengan tepukan para hadirin yang terdiri daripada anggota Gerakan dan penduduk Kg Simee yang merangkumi pelbagai kaum.

Turut hadir isteri beliau Datin Saripah Zulkifli; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn dan bekas Menteri Besar, Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Zambry berkata, sebagai Menteri Besar untuk semua rakyat Perak, beliau mahu melihat kesejahteraan dan keadilan dapat dilakukan dengan sebaikbaiknya untuk semua.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain