suria

POLITIK PERAK: DETIK MENARIK HARI INI

[DIKEMAS KINI 7 MALAM] BERIKUT adalah perkembangan politik di Perak sepanjang hari ini.

6.45 petang: Nizar dalam sidang medianya berkata, beliau akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengisytiharkan angkat sumpah Menteri Besar baru, Dr Zambry sebagai tidak sah.

6.05 petang: Penyokong-penyokong Pakatan meninggalkan kawasan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar. Bagaimanapun terdapat segelintir penyokong yang masih berada di sekitar Jalan Bukit Chandan di kawasan masjid tersebut berada.

4.30 petang: Nizar berkata, beliau enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak atas keyakinan yang beliau masih secara sah memegang jawatan itu di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

4.15 petang: Upacara mengangkat sumpah Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak berakhir.

4 petang: Dr Zambry menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Sultan Azlan Shah dan seterusnya mengangkat sumpah jawatan.

3.55 petang: Upacara mengangkat sumpah Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang bary bermula di Istana Iskandariah.

3.35 petang: Speaker V. Sivakumar berkata, beliau telah menghantar dua pucuk secara peribadi dan faks kepada Sultan Perak memohon perkenan baginda untuk mengadakan mesyuarat DUN tergempar dan menangguhkan upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru.

3.30 petang: Jumlah penyokong Pakatan yang menyertai perhimpunan semakin berkurang. Bagaimanapun, terdapat segelintir yang enggan meninggalkan kawasan masjid walaupun selepas Setiausaha Eksekutif PAS, Khalid Rahman Abdul Samad merayu mereka supaya bersurai.

3.00 petang: Rombongan pengiring BN menuju ke Istana Iskandariah untuk upacara mengangkat sumpah Menteri Besar yang baru. Seorang kanak-kanak lelaki pengsan setelah terkena gas pemedih mata dan dikejarkan ke hospital.

2.55 petang: Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menyembur gas pemedih mata kepada beribu-ribu penyokong Pakatan Rakyat di luar Masjid Ubudiah berhampiran Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. Pihak polis mula melakukan tangkapan.

1.05 petang: Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Sultan Perak telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam mengenepikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Nizar. Katanya, Nizar akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak dan kerajaan negeri yang baru di Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa ini jika kerajaan baru Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa.

12.35 tengah hari: Speaker DUN Perak, V. Sivakumar berkata, beliau akan menghantar surat kepada Sultan Perak pada pukul 3 petang ini bagi memohon perkenan baginda untuk mengadakan mesyuarat DUN tergempar dan menunda upcara mengangkat sumpah Menteri Besar baru.

12.15 tengah hari: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memberitahu wartawan, Pakatan Rakyat akan mengadakan kembara di seluruh negeri untuk memberi penjelasan berhubung situasi politik negeri itu dan berjanji Pakatan akan kembali berkuasa di Perak.

10.45 pagi: Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihak polis mengawal bangunan SUK seperti yang diminta oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan kelancaran peralihan kuasa.

10.40 pagi: Nizar meninggalkan bangunan SUK dan sebelum itu memberitahu wartawan yang beliau dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi kerajaan negeri sehingga Menteri Besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah pada pukul 3.30 petang ini.

10.15 pagi: Nizar diiringi keluar daripada pejabat MB yang kini kosong di bangunan tersebut oleh Ketua Polis Ipoh, Azisman Alias yang turut menghalang Nizar daripada mengadakan sidang media di pejabat tersebut.

9.50 pagi: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh menggunakan kenderaan rasmi baru kerajaan negeri, Toyota Camry. Beliau dibenarkan melalui pintu masuk utama di jalan utama yang menghala bangunan tersebut pada pukul 9.50 pagi. Kesemua 10 Exco Pakatan Rakyat yang bersama beliau juga dibenarkan masuk.

BERITA TERDAHULU

Khamis, 5 Februari 2009

11.30 malam: Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru esok.

8.00 malam: Perdana Menteri mengumumkan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru. Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.

6.30 petang: Perdana Menteri meninggalkan Istana Kinta bersama seorang lelaki yang tidak dikenali duduk di sebelah beliau dalam kenderaannya.

5.53 petang: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Azlan Shah. Beliau tiba dengan diiringi sembilan kereta.

5.40 petang: Pejabat Sultan Perak mengeluarkan kenyataan berhubung titah Sultan.

5.10 petang: Menteri Besar Perak berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak akan meletak jawatan kerana masih berkuasa. Sebaliknya, beliau akan menghadap Sultan Perak sekali lagi untuk merayu supaya DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri baru diadakan.

4.50 petang: Nizar dalam sidang akhbarnya memberitahu, Pakatan Rakyat akan merayu kepada Sultan Perak supaya memberi perkenan untuk membubarkan DUN negeri itu supaya rakyat Perak boleh membuat keputusan berhubung kerajaan seterusnya. Beliau bagaimanapun masih belum membangkitkan isu peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar.

4.30 petang: Di Bagan Serai, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pakatan Rakyat menerima hakikat bahawa BN akan memerintah kerajaan negeri Perak.

4.21 petang: Pasukan polis dan FRU mengambil alih bangunan Kerajaan Negeri. Sebaik sahaja Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar dan semua Exco meletak jawatan, Setiausaha Kerajaan Negeri telah menghantar surat kepada semua Exco memaklumkan kepada mereka untuk menyerahkan kembali harta negeri termasuk kunci, kereta dan sebagainya. Beliau turut pergi ke pejabat semua Exco dan meminta semua pembantu peribadi Exco meninggalkan bangunan dengan segera.

3.30 petang: Perdana Menteri akan menghadap Sultan Azlan Shah di Istana Kinta, petang ini.

3.00 petang: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadakan sidang media khas di kediaman rasminya.

2.25 petang: Sultan Azlan Shah tidak berkenan membubarkan DUN Perak dan meminta Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Jika tidak, jawatan itu dianggap kosong.

12.45 tengah hari: MB Perak memasuki Istana Kinta.

12.30 tengah hari: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Pakatan Rakyat yang mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di Ipoh.

11.56 pagi: Najib memberitahu wartawan yang beliau telah memberitahu Sultan Azlan Shah bahawa BN mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri Perak. Katanya, Sultan akan menitahkan keputusannya tidak lama lagi.

11.55 pagi: Speaker V. Sivakumar meninggalkan Mahkamah Tinggi selepas memohon kepada mahkamah untuk mengisytiharkan surat peletakan jawatan tiga ADUN sebagai sah dan kerusi DUN tersebut kosong.

11.50 pagi: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berada di pejabat Menteri Besar pada pukul 3 petang ini dan perhimpunan besar-besaran dijadualkan berlangsung pada pukul 7 malam di kediaman Menteri Besar.

11.38 pagi: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memberitahu wartawan, beliau baru sahaja dipanggil untuk hadir ke Istana Kinta.

11.34 pagi: Najib meninggalkan Istana Kinta bersama empat ADUN.

11.21 pagi: Najib kembali ke Istana Kinta, kali ini bersama empat bekas wakil rakyat Pakatan Rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) untuk menghadap Sultan Perak.

10.35 pagi: Ketua Umno Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Istana Kinta. Najib dijangka akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa perhubungan negeri bagi membincangkan calon BN bagi jawatan Menteri Besar Perak.

9.50 pagi: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Ahli Parlimen Bagan Datoh) memasuki Istana Kinta untuk mendapatkan perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi BN membentuk kerajaan baru di negeri itu.

9 pagi: Speaker, V. Sivakumar memberitahu wartawan yang beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi pada hari ini untuk mengisytiharkan surat letak jawatan tidak bertarikh oleh bekas ADUN PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan ADUN DAP, Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai sah. Tiga ADUN tersebut telah meletakkan jawatan daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas dan mengakui akan memberi sokongan kepada BN.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain