suria

Polis Maran rampas 915 botol arak bernilai RM5,000

MARAN: Sebanyak 915 botol arak yang dijual tanpa lesen bernilai lebih RM5,000 dirampas di tujuh premis perniagaan di Maran Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Maran, DSP Ahmad Johari Shahabudin berkata, serbuan yang diketuai Insp Muhammad Rizman Ramly itu turut berjaya menahan enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 34 hingga 67 tahun.

"Dalam serbuan bermula dari 4 petang sehingga 8.30 malam hasil daripada intipan dan siasatan selama dua bulan ini, sebanyak 28 jenis minuman keras telah dirampas antaranya adalah Lemon Gin, Nelayan Orang Tua, Tiga Kucing dan Thai Song," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Sementara itu, pada hari sama, tiga lelaki termasuk dua beradik yang dipercayai terlibat dengan beberapa kes pecah rumah dan rompakan tanpa senjata sekitar Maran ditahan di rumah masing-masing di Kampung Paya Ladang dan Kampung Baru Huma Luas, Chenor di sini.

Ahmad Johari berkata dalam kejadian terbaru pada 29 Jan lepas, dua daripada lelaki terbabit berusia 25 dan 35 tahun dipercayai berpura-pura untuk membeli rokok di sebuah kedai runcit di Pekan Awah di sini sebelum melarikan wang tunai RM200.

Mereka kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu seorang lagi lelaki berusia 27 tahun, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain