suria

Penganalisis: Politik di Perak belum tentu stabil

PETALING JAYA: Tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan penubuhan kerajaan baru oleh Barisan Nasional (BN) hari ini membawa satu episod baru dalam lipatan sejarah negara.

Tindakan keluar parti empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat sekaligus menggulingkan kerajaan sedia ada dan memberi mandat kepada BN kembali berkuasa selepas 11 bulan 'kehilangan' negeri itu.

Keputusan Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang tidak memberi perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan ternyata tidak berpihak kepada hasrat Pakatan yang mahukan rakyat diberikan kuasa untuk memilih semula kerajaan.

Dalam pada keengganan Nizar meletakkan jawatan, BN kini telah bersetuju melantik ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru yang dijadualkan mengangkat sumpah hari ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Ternyata hasrat BN untuk menerajui kembali kerajaan Perak bukan lagi cakap-cakap kosong walaupun pengambilalihan kerajaan tersebut dianggap sesetengah pihak sebagai tidak secara demokratik.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd Agus Yusof berkata, pengambilalihan BN menerajui Perak dengan cara ADUN daripada Pakatan Rakyat menyokong mereka adalah permainan politik yang tidak bersih dan tidak menunjukkan reformasi yang diuar-uarkan parti itu.

"Umno telah dapat berkuasa kembali di Perak dengan cara yang tidak meyakinkan rakyat bahawa mereka sedang melakukan satu reformasi yang dijanjikan.

"Ini langsung bukan reformasi dalam Umno kerana Umno sepatutnya parti yang perlu dilihat bersih.

"Adakah Umno dilihat mempunyai kredibiliti oleh rakyat kerana kerajaan seharusnya dipilih dengan cara demokrasi," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Mohd Agus berkata, kejayaan BN mengambil alih Perak tidak menjanjikan kestabilan politik di negeri itu memandangkan majoriti kerusi DUN antara dua parti yang tipis.

"Dengan majoriti yang tipis ini, bolehkah kita kekalkan kestabilan politik di Perak.

"Saya tidak yakin ia akan menyelesaikan konflik politik yang ada dan mampu mengembalikan kepercayaan rakyat," katanya.

Beliau berkata, persaingan politik yang wujud antara BN dan Pakatan sepatutnya sihat dan memberi kebaikan kepada rakyat.

"Kita tidak mahu persaingan politik yang menimbulkan perpecahan dan kekecohan.

"Orang luar memerhati gaya politik kita. Politik kita sepatutnya menuju ke arah politik yang baru, lebih bersih dan sihat tetapi pengambilalihan kerajaan Perak oleh BN daripada Pakatan menunjukkan hal itu makin jauh untuk berlaku pada kita," katanya.

Beliau berkata, Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan berhubung kemelut politik yang melanda negeri itu.

Bagaimanapun katanya, hasrat Nizar untuk merayu keputusan Sultan Azlan Shah tidak salah jika diteruskan.

"Tidak ada masalah jika beliau mahu merayu, tetapi keputusan muktamad tetap berada di tangan Sultan," katanya.

Bagaimanapun katanya, Nizar tidak sepatutnya membantah keputusan Sultan dengan enggan meletak jawatan, sebaliknya menjadikan ia sebagai satu pengajaran.

"Beliau patut belajar daripada hal ini. Beliau perlu belajar untuk menilai demokrasi dan menguruskan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain menyifatkan pengambilalihan kerajaan negeri Perak oleh BN sebagai 'demokrasi tidak langsung'.

"Tidak benar dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan tindakan BN mengambil alih Perak dengan cara ADUN melompat parti sebagai tidak demokrasi.

"Walaupun tindakan wakil rakyat itu melibatkan mandat yang diberikan kepadanya kerana mereka diundi mengikut parti, namun rakyat memilih seseorang pemimpin itu berdasarkan kepercayaan mereka.

"Justeru, apa sahaja tindakan wakil rakyat itu adalah berpegang kepada mandat yang diberikan.

"Jangan setiap kali wakil rakyat lompat parti, beliau itu dianggap mementingkan diri. Beliau sebenarnya memikirkan keresahan dan rintihan rakyat," katanya.

Katanya, soal pengambilahan secara tidak berdemokrasi juga tidak patut timbul memandangkan negara tidak mempunyai undang-undang yang melarang mana-mana ahli politik untuk melompat parti.

"Dalam demokrasi sememangnya membenarkan wakil rakyat melompat parti. Mengapa pula ia tidak berdemokrasi sedangkan kita yang membenarkan ia berlaku," katanya.

Berhubung keengganan Nizar untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar, Ahmad Atory berkata, Nizar tidak sepatutnya bertindak demikian kerana Sultan mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

"Sultan Perak menitahkan perkara itu di bawah budi bicaranya di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Menteri Besar tidak harus bertindak demikian kerana itu sudah dikira menderhaka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain