suria

Pemuda Umno PJ Utara buat laporan polis terhadap MB Selangor

PETALING JAYA: Pemuda Umno Petaling Jaya Utara hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri dan salah guna kuasa.

Laporan itu dibuat Ketua Pemudanya Latt Sharizan Abdullah, diiringi 20 penyokongnya di Balai Polis Damansara, kira-kira pukul 5.45 petang tadi.

Latt Sharizan berkata pihaknya mahu polis menjalankan siasatan terhadap Khalid kerana kepimpinan beliau dikatakan tidak mencerminkan sebuah kerajaan Selangor yang berintegriti dan bersikap telus.

"Kami juga mendesak Khalid meletak jawatannya sebagai Menteri Besar (Selangor) sekiranya terbukti terdapat penyelewengan.

"Perbuatannya menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi amat mendukacitakan.

"Contohnya seperti mengambil kesempatan menggunakan kereta sendiri dalam urusan kerja beliau walhal kerajaan negeri menyediakan kereta rasmi untuk urusan (kerja) itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Selasa lepas, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Khalid menyalah guna wang kerajaan negeri sebanyak RM7,797 untuk kegunaan peribadi iaitu menyelenggara kereta Lexus miliknya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain