suria

Pakatan harus terima kenyataan BN perintah Perak

SLIM RIVER: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pakatan Rakyat untuk menerima kenyataan bahawa Barisan Nasional (BN) kini memerintah negeri Perak.

"Mereka harus menerimanya sebagaimana kami menerima keputusan pilihan raya umum (ke-12)," katanya.

Abdullah merakamkan penghargaan kepada Sultan Perak yang tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdullah percaya keputusan yang dibuat Baginda itu adalah berpandukan kepada undang-undang yang jelas.

"Saya percaya bahawa Sultan Azlan memang menghalusi apabila memberi adaptasi dan mengizinkan sesuatu tindakan yang diambil dari segi undang-undang mesti tepat.

"Terima sahajalah (keputusan ini). Dulu semasa pilihan raya yang lepas parti pembangkang telah menang, (kita dapat terimanya)," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Air Tanah Sime Darby Ladang ClunyBedford, Batang Padang, dekat sini, semalam.

Abdullah berkata: "Kita tidak boleh menentang sebarang undang-undang yang telah dibuat dan pihak berkenaan berhenti bermain politik.

"Orang di negeri lain sedang sibuk dengan hal berkaitan dengan usaha untuk memberi perhatian kepada pekerja-pekerja dan projek yang mesti dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan membantu rakyat supaya tekanan ekonomi yang ada sekarang ini dapat diringankan," katanya.

Mengulas pendekatan BN memperoleh majoriti untuk menerajui kerajaan negeri Perak, Abdullah berkata: "Saya percaya ini bukan sesuatu yang akan dibantah, yang penting kita mahu kerajaan yang akan dibentuk itu mengikut undang-undang dan menjalankan pentadbiran dengan penuh tanggungjawab serta memberi khidmat kepada rakyat."

Abdullah berkata anggota BN yang telah ditarik oleh Pakatan Rakyat telah menyedari kesilapannya dan kini kembali ke pangkuan parti.

Katanya kriteria utama yang diperlukan sebagai Menteri Besar ialah seorang yang boleh memimpin dan berkhidmat kepada rakyat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain