suria

Dua konstabel polis bebas tuduhan rasuah

SHAH ALAM: Dua konstabel polis hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan memperoleh suapan RM150 sebagai dorongan untuk tidak menahan pasangan kekasih yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh di tempat letak kereta Stadium Shah Alam, empat tahun lepas.

Hakim M.Gunalan membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Dzulham Zulkefli, 27, dan Mohd Remy Rosli, 26.

Dalam penghakimannya, Gunalan berkata untuk membuktikan kes prima facie, pendakwaan perlu mengemukakan bukti yang kukuh dan mengemukakan saksi yang mempunyai kredibiliti.

Bagaimanapun, beliau berkata sepanjang perbicaraan, timbul percanggahan keterangan antara saksi pendakwaan yang dipanggil dan tambahan pula, pengadu, Mohd Adanan Zainal Abidin hanya melaporkan mengenai perbuatan keduadua anggota polis terbabit 10 hari selepas kejadian.

Justeru, Gunalan memutuskan bahawa Dzulham dan Mohd Remy dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Dzulham dan Mohd Remy yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Seksyen 11 di sini, didakwa bersamasama secara rasuah memperoleh bagi diri mereka RM150 daripada Mohd Adanan, kakitangan Jabatan Perangkaan, sebagai dorongan untuk tidak menahan Mohd Adanan dan Nuriatul Azmah Omar kerana dikatakan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Stadium Shah Alam di sini, antara pukul 2.30 petang dan 3.30 petang pada 8 Jan 2005.

Dzulham dan Mohd Remy yang ditangkap pada 20 Jan 2005 didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Keduadua mereka yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM2,500 setiap seorang, digantung tugas sepanjang perbicaraan yang memanggil enam saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fazilah Osman manakala Dzulham dan Mohd Remy diwakili peguam Ariff Azami Hussain serta Azizzul Shariman Yusof. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain