suria

Saiful: Jangan lengahkan perbicaraan liwat

PETALING JAYA: Bekas pembantu khas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini melahirkan rasa kecewa atas kelewatan perbicaraan kes liwatnya.

"Saya amat kecewa dan berdukacita dengan sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih cuba untuk melengah-lengahkan perbicaraan utama bagi pertuduhan liwat ke atas beliau yang mana saya adalah merupakan pengadu bagi kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan akhbar yang difakskan kepada mStar Online petang tadi.

Menurut Saiful, alasan demi alasan yang ditimbulkan ketua pembangkang itu selama ini telah memberi kesan kelewatan untuk perbicaraan utama dimulakan.

Terbaru pada sidang untuk semakan kehakiman kes tersebut pagi tadi, Mahkamag Tinggi telah menangguhkan kes tersebut sekali lagi atas alasan bahawa pihak pembela ingin membuat permohonan untuk mengecualikan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden daripada mengendalikan kes liwat tersebut.

Permohonan itu dibuat atas alasan Yusof mewakili Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam Suruhanjaya Diraja menyiasat kes mata lebam Anwar.

Pihak pembelaan yang diketuai Sulaiman Abdullah memohon masa seminggu untuk menyediakan permohonan bertulis dan afidavit sokongan mengecualikan Mohamed Yusof.

"Saya amat berharap agar pihak-pihak yang terlibat dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya agar perbicaraan utama dapat dimulakan tanpa sebarang alasan lain untuk melengahkan perbicaraan utama," kata bekas pembantu peribadi Anwar yang berusia 24 tahun itu.

Anwar, 62, kini Ketua Pembangkang di Parlimen didakwa meliwat bekas pembantu khasnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Sementara menunggu perbicaraan, Anwar dibenarkan bebas dengan bon jaminan peribadi RM20,000.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Zabidin Mohd Diah memutuskan 25 hingga 27 Februari ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain