suria

Polis tembak ketua kumpulan Geng Lekir

KUALA LUMPUR: Polis mengulangi kejayaan dalam melumpuhkan satu lagi kegiatan samun dan curi kenderaan apabila ketua kumpulan Geng Lekir yang paling dikehendaki cedera ditembak di sebuah stesen minyak di Sijangkang, Banting awal pagi ini.

Lelaki itu cedera dipinggang dalam kejadian 1 pagi dan telah dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Ampuan Rahimah, Klang.

Ekoran penahanan suspek yang berumur 24 tahun itu, polis yakin dapat menyelesaikan 50 kes samun kereta di sekitar Selangor yang dilakukan kumpulan terbabit sejak dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Hasnan Hassan berkata kejadian itu berlaku apabila suspek dilihat sedang berurusan dengan seseorang, dipercayai untuk menjual kereta milik seorang anggota polis yang dilaporkan disamun pada 19 Jan lepas.

"Polis yang mencurigai gerak-geri suspek kemudiannya cuba menahannya untuk pemeriksaan, tetapi suspek cuba melarikan diri dengan keretanya. Polis kemudiannya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek," katanya.

Hasnan berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut, polis menemui empat bilah parang bersama beberapa nombor pendaftaran palsu yang dipercayai digunakan oleh anggota geng tersebut ketika melakukan samun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain