suria

Polis ambil tindakan tegas terhadap pihak adakan perhimpunan

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang mengadakan sebarang perhimpunan atau demontrasi haram berikutan senario politik yang berlaku di Perak berikutan peralihan tampuk pemerintahan.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penyokong yang mengadakan sebarang perhimpunan atau demonstrasi secara haram kerana ia mengganggu ketenteraman awam.

"Saya berharap penyokong mana-mana parti tidak mengadakan sebarang perhimpunan kerana ini bukan sahaja akan menyusahkan orang ramai tetapi ini akan mengganggu ketenteraman awam.

"Pemimpin tertinggi bagi kedua-dua parti juga diminta memberi nasihat kepada penyokong masing-masing supaya bertenang dan tidak membuat perkara-perkara yang boleh melanggar undang-undang negara," katanya kepada ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan akan berlaku demontrasi dan perhimpunan haram apabila tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak berikutan empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Selain itu terdapatnya khabar angin melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMs) mengajak penyokong parti politik di seluruh segara berkumpul di Perak untuk mengadakan demontrasi.

Musa berkata mana-mana pihak yang ingkar arahan polis boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana berhimpun secara haram.

Katanya polis telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan tersebut dengan menempatkan anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk berkawal di beberapa kawasan sekitar Perak.

"Sehingga kini keadaan di Perak masih lagi terkawal namun polis akan terus berkawal sehingga dirasakan perlu," katanya.

Tindakan empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat itu keluar parti masing-masing memberikan majoriti mudah kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri.

Empat wakil rakyat itu adalah ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu, kedua-dua daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), ADUN Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP dan ADUN Bota Datuk Nasarudin Hashim, yang menyertai PKR pada 25 Januari lepas dan kembali semula kepada Umno semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain