suria

Pembangunan Perak rancak semula - Rafidah

KUALA KANGSAR: Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz berkata peralihan semula kuasa kerajaan negeri Perak kepada Barisan Nasional (BN) akan membawa manfaat besar kepada penduduk selepas banyak pembangunan terencat selama hampir setahun diperintah kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

"Perak masih memerlukan pelbagai bentuk pembangunan seperti infrastruktur yang tertangguh selama setahun yang mana gagal dilakukan kerajaan PR sebelum ini," katanya.

Beliau berkata kejayaan BN menguasai semula kerajaan negeri Perak membolehkan dasar yang diamalkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri diselaraskan semula dan dapat membantu penduduk menangani masalah kegawatan ekonomi global yang berlaku masa kini.

Beliau mengulas kejayaan BN dan penyokongnya memperoleh majoriti 31 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Kerajaan negeri PR Perak yang dianggotai DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini tinggal 28 kerusi selepas empat wakil mereka keluar parti masing-masing dan menyokong BN.

Rafidah yang juga Anggota Parlimen Kuala Kangsar berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Geran Pembangunan Ekonomi Desa, bantuan membaiki rumah dan bantuan kerusi roda kepada penduduk miskin di sini hari ini.

Beliau berkata Wanita Umno Perak akan meneruskan semula pelbagai aktiviti yang terhenti sejak 11 bulan lalu semasa kerajaan negeri ditadbir PR.

"Walaupun Barisan Nasional berjaya menguasai semua pentadbiran kerajaan negeri tetapi dengan perbezaan kerusi yang amat kecil semuanya boleh berlaku.

"Bagi membolehkan kita terus berkuasa, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam mengawal kepimpinan kerajaan negeri dalam memimpin negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Rafidah berkata pergerakan itu juga berharap pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru kelak akan meneruskan tradisi memberi tempat kepada wakil wanita dilantik sebagai Anggota Exco.

Wanita Umno Perak mempunyai tiga ADUN iaitu Ketuanya, Datuk Siti Salmah Mat Jusak (Chenderoh), Datuk Dr Rusnah Kassim (Hulu Kinta) dan Hamidah Osman (Sungai Rapat) manakala dua lagi ADUN wanita iaitu Dr. Wan Norashikin Wan Nordin (Kampung Gajah) dan Nolee Asylin Mohd Radzi (Tualang Sekah) daripada Puteri Umno. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain