suria

Pakatan Rakyat fail saman isytihar tiga kerusi kosong

[DIKEMAS KINI] IPOH Kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini memohon bagi mengisytiharkan kekosongan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Saman itu difailkan oleh Peguam Bela dan Peguam Cara Leong & Tan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada pukul 11.40 pagi.

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar dan Exco Kanan negeri Datuk Ngeh Koo Ham hadir di mahkamah. Ketiga-tiga penyandang Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), dan Hee Yit Fong (Jelapang) mendakwa surat peletakan jawatan mereka ditandatangani selepas mereka dipilih menjadi wakil rakyat pada Mac tahun lepas.

Sivakumar dan Ngeh dalam satu kenyataan bersama hari ini mengulangi bahawa Sivakumar telah menerima peletakan jawatan ketiga-tiga wakil rakyat dan kerajaan negeri tidak lagi mengiktiraf mereka sebagai wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.

"Pengisytiharan ini dipohon bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya mengiktiraf kekosongan ketiga-tiga kerusi dan pilihan raya kecil mesti diadakan," menurut mereka. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

Status ADUN Bebas: Speaker DUN kini di mahkamah

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar kini berada di Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan bahawa surat letak jawatan tiga ADUN dari Pakatan Rakyat - yang telah keluar parti dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas, adalah sah.

Beliau berada di bangunan Mahkamah Tinggi di Ipoh pada pukul 9 pagi tadi.

Pada Isnin lalu, beliau menyerahkan surat secara rasmi memaklumkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak mengenai kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering dan Behrang.

Sehari sebelum itu, Sivakumar dalam satu kenyataan media mengumumkan dua ADUN iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai ADUN di rumah beliau.

Bagaimanapun, kedua-dua wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, yang tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lepas, pada malam tadi menafikan kenyataan Sivakumar bahawa mereka telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan oleh Sivakumar adalah surat yang ditandatangani oleh mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihan raya umum tahun lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain